Anda di sini

Peruntukan perbelanjaan termasuk penyelenggaraan untuk sekolah tidak dikurangkan

Advertisement
Fadhlina berucap pada Majlis Pelancaran Takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023 di Auditorium Kompeks F hari ini. - Gambar Bernama
Fadhlina berucap pada Majlis Pelancaran Takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2023 di Auditorium Kompeks F hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek memberi jaminan peruntukan perbelanjaan bagi sektor pendidikan dalam Belanjawan 2023, termasuk penyelenggaraan untuk sekolah tidak akan dikurangkan.

Bercakap kepada media selepas melancarkan Takwim Kejohanan MSSM 2023 di sini hari ini, beliau berkata keutamaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2023, ialah sekolah-sekolah daif.

“Tidak akan dikurangkan tetapi dari semasa ke semasa, formula kita ialah kepada keperluan sekolah.

“Keutamaan KPM dalam Belanjawan 2023, sekolah daif yang akan diberi keutamaan dahulu, kemudian peruntukan penyelenggaraan macam biasa tiada pengurangan, sebab nak memastikan sekolah selamat, selesa dan akhirnya pendidikan berkualiti,” katanya.

Sektor pendidikan negara terus diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023 dengan peruntukan dana tertinggi iaitu sebanyak RM55.2 bilion berbanding RM52.6 bilion pada 2022.

Mengenai wujud kebimbangan ibubapa terhadap harga makanan di kantin sekolah, Fadhlina berkata tidak timbul isu kerana terdapat perjanjian dan garis panduan di antara pihak kantin dan sekolah.

“Sekiranya ada isu, boleh rujuk kepada terma dari semasa ke semasa untuk berbincang dengan sekolah. Ada ruang untuk perbincangan walaupun terma ada di antara kantin dan sekolah,” katanya.

Ditanya ada perancangan menyeragamkan harga makanan di kantin mengikut negeri, beliau berkata perkara itu akan dilihat dari semasa ke semasa, sekiranya ada keperluan berbuat demikian. - Bernama 

Advertisement