Anda di sini

Pemandu lori cuai sebabkan kemalangan 11 kenderaan

Advertisement
 Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
REMUK: Antara kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

SANDAKAN: Kecuaian pemandu lori menyebabkan berlakunya kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan di Batu 31 Jalan Labuk, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.43 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu lori mengawal kenderaannya yang sedang bergerak dari arah batu 32 menghala ke bandar Sandakan.

“Lori berkenaan melanggar sederet tujuh kenderaan di hadapannya yang berhenti menunggu giliran untuk bergerak disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya.

Dalam masa yang sama kenderaan yang dilanggar masuk ke laluan bertentangan dan melanggar tiga lagi kenderaan lain dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki mengalami kecederaan patah kaki dan dirawat di hospital Kinabatangan, manakala pemandu lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu lori berkenaan kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Abdul Fuad menasihatkan semua pemandu agar lebih berhati-hati dan sentiasa memastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

  • oleh
  • Advertisement