Anda di sini

Laluan empat lorong Pan Borneo di Seksyen Bakun dibuka Jumaat ini

Advertisement
Laluan empat lorong dari Batu 42 hingga Batu 74 Lebuh Raya Pan Borneo yang akan dibuka mulai 17 Mac ini.
Laluan empat lorong dari Batu 42 hingga Batu 74 Lebuh Raya Pan Borneo yang akan dibuka mulai 17 Mac ini.

MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan membuka laluan empat lorong di Lebuh Raya Pan Borneo dalam Seksyen Bakun, WPC 10 iaitu Batu 42 hingga Batu 74, dalam bahagian Bintulu dan Miri. 

Laluan yang dinyatakan itu (selepas Simpang Labang hingga ke SOP Gelasah), mulai dibuka Jumaat ini, bermula jam 10 pagi. 

Unit Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak JKR Sarawak dalam kenyataan medianya di sini, hari ini memberitahu kerja-kerja pemeriksaan hasil kerja akan dijalankan pada 20 Mac hingga 31 Mac di laluan Miri menghala ke arah Bintulu. 

"Para pemeriksa akan berada di lorong perlahan bagi menjalankan kerja-kerja tersebut.

"Oleh yang demikian, pengguna jalan raya dikehendaki mematuhi papan tanda had laju iaitu 50 kilometer sejam (km/j) dan 30km/j di kawasan kerja sepanjang laluan yang dibuka itu. 

"Pengguna jalan raya diminta berhati-hati ketika memandu di laluan berkenaan semasa tempoh pembukaan dijalankan dan mematuhi segala pengurusan trafik untuk keselamatan dengan perhatian khusus," jelas JKR Sarawak. 

Jabatan itu memberitahu, pihak kontraktor akan memaklumkan sekiranya terdapat sebarang perubahan pada tarikh atau kawasan yang terlibat dengan kerja-kerja tersebut. 

Namun pada masa yang sama, para pengguna jalan raya dinasihati merancang perjalanan di kawasan-kawasan yang terlibat.

"Segala kesulitan amatlah dikesali. Sebarang aduan atau pertanyaan lanjut berkaitan aliran trafik tersebut, sila hubungi Unit Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, JKRS di talian 082-230 879," jelas kenyataan. 

Advertisement