Anda di sini

Kredit karbon sedia pendapatan RM315 juta-RM1.039 bilion setahun kepada Sarawak 

Advertisement
Abang Johari menyampaikan ucaptama pada Persidangan Karbon Asia 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari menyampaikan ucaptama pada Persidangan Karbon Asia 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kredit karbon akan menyediakan sumber pendapatan baharu kepada Sarawak iaitu dari RM315 juta hingga RM1.039 bilion setiap tahun.

Beliau berkata Sarawak berpotensi mewujudkan tempat menyimpan karbon (carbon sinks) dari hutan-hutan kekal, menggalakkan penyerapan karbon dan menjalankan skim-skim penanaman pokok untuk kredit karbon.

Abang Johari yang juga Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, pendekatan baharu pengurusan hutan iaitu peralihan daripada pembalakan tradisional yang menjana hasil kayu boleh niaga kepada pendekatan jangka panjang lebih mampan.

Pendekatan baharu itu tambahnya mengutamakan pemuliharaan, penghutanan dan penjanaan semula.

"Dengan berbuat demikian, usaha-usaha kita perlu diselaraskan dengan usaha global bagi mengurangkan kesan perubahan iklim dan pemanasan global, di samping menyokong Matlamat Pembangunan Baharu Mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Karbon Asia 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai kira-kira 7.7 juta hektar atau 62 peratus daripada keseluruhan kawasan tanahnya adalah litupan hutan.

Beliau berkata ia merupakan peluang besar untuk Sarawak berada di barisan hadapan dalam dasar pengurusan hutan lestari, dengan tujuh juta hektar diperuntukkan bagi perhutanan mampan dan pemuliharaan di bawah Dasar Guna Tanah Sarawak.

"Daripada jumlah ini, enam juta hektar adalah Hutan Kekal dan satu juta hektar adalah Kawasan Terlindung Sepenuhnya, menunjukkan komitmen teguh kami terhadap pemuliharaan dan penjanaan semula hutan kami," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata strategi Sarawak bagi masa depan rendah karbon memfokuskan kepada tiga tonggak iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran  mampan, dengan matlamat untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

"Kami berbesar hati, mengumumkan Sarawak mengambil langkah berani ke arah masa depan mampan dengan menggubal undang-undang yang merangkumi ruang udara dan hartanah di atas permukaan tanah serta dasar laut pelantar benua negeri.

"Kanun Tanah (Penyimpanan Karbon) Peraturan, 2022 menyediakan rangka kerja undang-undang untuk aktiviti Pengawalan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Sarawak," jelasnya.

Beliau menambah Sarawak mempunyai potensi besar untuk penyimpanan karbon, dianggarkan  30 trilion meter padu di dasar laut pelantar benuanya. 

Medan petroleum luar pesisir Sarawak yang telah habis atau terbiar sesuai untuk penyimpanan karbon dioksida (CO2) yang selamat dan kekal, katanya. 

"Ini memberikan peluang yang besar kepada syarikat minyak dan gas untuk memenuhi kewajipan mereka mengurangkan pelepasan CO2 (karbon dioksida)," katanya.

Abang Johari turut berkongsi pelaksanaan Projek Pengawalan dan Penyimpanan Karbon (CCS) mega bernilai RM4.5 bilion di Bintulu atau spesifiknya terletak dalam lapangan gas Kasawari oleh Petronas.

Projek itu katanya dijangka mengurangkan sehingga 3.3 juta tan karbon dioksida setiap tahun, menjadikannya projek CCS luar pesisir terbesar di dunia.

"Pencapaian ini meletakkan Sarawak dalam peta sebagai peneraju global dalam teknologi ini," katanya.

Beliau juga mengumumkan Sarawak baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Kumpulan POSCO untuk bersama-sama menjalankan analisis kebolehlaksanaan ke atas projek pengawalan dan penyimpanan karbon.

Syarikat terkemuka dari Singapura dan Jepun juga tambahnya telah menyatakan minat untuk menyertai dan melabur dalam CCUS di Sarawak.

"Kita mengalu-alukan sokongan dan perkongsian mereka dalam usaha 'memerangi' perubahan iklim dan mewujudkan masa depan yang mampan," tambahnya.

Mengenai persidangan itu, Abang Johari berkata ia julung kali diadakan di Asia bagi menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri terkemuka bagi mengimbangi karbon dan berdagang dalam pasaran global yang berkembang pesat.

"Persidangan itni akan menjadi landasan untuk membuat keputusan penting dalam pembentukan dasar, peluang pelaburan termaju dan teknologi inovatif yang pastinya akan membentuk masa depan pasaran karbon," tambahnya.

Advertisement