Anda di sini

Kontrak import beras tidak boleh dibatal secara unilateral

Advertisement
Chan ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Gambar Bernama
Chan ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak boleh membatalkan sebarang kontrak  pengimportan beras ke negara ini secara unilateral, kerana perlu mengambil kira obligasi sosial yang dipersetujui dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata sebagai pengimport utama beras negara, Bernas perlu melaksanakan 10 obligasi sosial yang dipertanggungjawabkan, tanpa menerima sebarang geran daripada kerajaan.

Obligasi itu antaranya ialah mengurus stok penimbal beras negara, mengekalkan peranan sebagai  pembeli padi terakhir pada harga minima dan mengurus pembayaran subsidi harga padi serta skim pengilang, pemborong Bumiputera dan koperasi petani.

Selain itu, Bernas juga harus memperuntukkan dana bagi pembekalan jentera dan mekanisasi padi, membangunkan sawah berskala besar dan menyediakan peruntukan bagi beberapa program termasuk  pembangunan stok penimbal benih padi, bantuan tabung bencana tanaman padi dan sistem maklumat padi dan beras.

“Kos yang perlu ditanggung Bernas untuk menyambung pelaksanaan obligasi ini secara langsung atau tidak langsung ialah sebanyak RM3.22 bilion dan daripada jumlah tersebut, RM1.85 bilion melibatkan petani, manakala RM1.37 bilion kepada industri dan pengguna.

“Tambahan itu, Bernas sekarang turut memberikan sumbangan tunai RM60 juta dan berkongsi 30 peratus keuntungan bersih daripada import beras kepada pesawah pada tahun ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikaikan pelanjutan tempoh konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal beras di negara ini, namun kerajaan menegaskan ia suatu yang tepat bagi memastikan bekalan bahan makanan berkenaan, berada dalam keadaan stabil dan terkawal.

Sementara itu, peruntukan berjumlah RM3.7 bilion bagi kementerian itu dalam Belanjawan 2023, lulus di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti selepas dibahas 21 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. - Bernama 

Advertisement