Anda di sini

‘Enjoy Jakarta’ kota syurga makanan dan produk batik

Advertisement
 Rombongan Familiarization Trip berpeluang mempelajari masakan dan minuman suku Betawi dengan Chef terkenal di Jakarta.
BELAJAR: Rombongan Familiarization Trip berpeluang mempelajari masakan dan minuman suku Betawi dengan Chef terkenal di Jakarta.

JAKARTA sebuah bandaraya yang bukan lagi asing bagi rakyat Malaysia, bahkan kota metropolitan ini sudah dikenali di seluruh dunia sebagai destinasi ekonomi, pelancongan dan aktiviti sosial.

Kota yang mempunyai populasi penduduk lebih 10 juta orang dengan pelbagai suku, kaum, budaya dan agama ini turut terkenal dengan bangunan-bangunan pencakar langit.

Jakarta sudah berkembang pesat sejak bertahun-tahun lamanya dan pembangunannya juga sangat pesat membangun sehingga mampu menarik pelabur dan pengembara luar negara datang ke kota ini.

Ramai yang beranggapan Jakarta hanya sebagai pusat ekonomi kerana terdapatnya banyak bangunan tinggi dan pusat beli belah barangan mewah.

Namun, Jakarta juga menawarkan pelbagai produk pelancongan yang menarik untuk dikunjungi, selain penduduknya yang ramah dan mudah didekati.

Berkunjung ke Jakarta, pelancong tidak perlu bimbang kerana kota ini dilengkapi dengan pelbagai jenis pengangkutan dan hotel bertaraf lima bintang hingga ke homestay.

Dari segi keselamatan juga, difahamkan di setiap jalan mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan anggota penguatkuasa turut selalu berada di mana-mana kawasan.  

 Aneka makanan tradisional etnik Jakarta yang unik dan lazat
UNIK: Aneka makanan tradisional etnik di Jakarta yang unik dan lazat

Penulis sendiri diberi peluang mengunjungi kota Jakarta sebagai peserta program Familiarization Trip 2023 yang dianjurkan bersama Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau dengan Disparekraf Provinsi DKI Jakarta.

Utusan Borneo adalah akhbar berbahasa melayu di Malaysia yang dipilih untuk menyertai program ini bersama empat wartawan lain termasuk seorang daripada semenanjung.

Program tajaan sepenuhnya Disparekraf Provinsi DKI Jakarta selama empat hari termasuk pergi balik ini adalah lawatan ke beberapa pusat pelancongan di Jakarta yang boleh dikunjungi khususnya rakyat Malaysia.

Disparekraf Provinsi DKI Jakarta masih mengekalkan slogan ‘Enjoy Jakarta’ bagi memperkenalkan produk pelancongan mereka kepada para pelancong.

Jakarta sangat sesuai bagi rakyat Malaysia sebagai lokasi pelancongan pilihan seisi keluarga kerana budayanya tidak jauh berbeza, selain kos perjalanan yang murah dan berbaloi.

Pada siri pertama, penulis ingin mempamerkan wajah Jakarta yang terkenal dengan keunikan makanan dan seni batiknya.

Aneka ragam makanan yang terdapat di Jakarta menjadi penyebab bandaraya ini sering mendapat jolokan ‘Syurga Makanan’ dalam kalangan pelancong.

 Kafe jamu yang menyediakan pelbagai jenis jamu yang berkhasiat.
KHASIAT: Kafe jamu yang menyediakan pelbagai jenis jamu  berkhasiat.

Kepelbagaian suku kaum dan etnik di Jakarta, menjadikan kota ini kaya dengan jenis masakan terutamanya makanan tradisional.

Tidak hairan, terdapat segelintir pelancong luar negara datang ke Jakarta hanya semata-mata untuk menikmati makanannya.

Penulis juga melihat pemilik restoran, kafe, samada bertaraf hotel mahupun gerai di Jakarta turut mengambil kesempatan memperkenalkan menu tradisional untuk menarik perhatian pelanggannya khususnya pelancong luar.

Semua rombongan yang terlibat juga diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman memasak makanan popular suku Betawi yang merupakan etnik pribumi terbesar di Jakarta.

Bertempat di Ramurasa Cooking Studio & Coffee, kami diberi tunjuk ajar memasak Soto Betawi dan minuman Pletok ataupun dikenali Bir Pletok yang merupakan menu terkenal di Jakarta oleh Chef Santhi Serad.

Soto Betawi sudah wujud dalam kalangan penduduk Jakarta sejak tahun 1977 dan ia sangat popular kerana ramuan dan bahan-bahan yang digunakan mudah didapati, selain rasanya yang lazat.

Manakala, bir Pletok yang merupakan minuman asal suku Betawi ini mempunyai sejarahnya tersendiri kerana dikaitkan dengan pengaruh penjajah Belanda.

Bir halal ini kononnya terhasil daripada pengaruh budaya minuman beralkohol orang Belanda pada zaman penjajahan lagi.

Justeru, orang Betawi pada masa itu cemburu dan cuba mencipta minuman khas daripada rempah seakan bir, tetapi yang tidak memabukkan dan halal diminum.

Penulis juga tertarik dengan kafe jamu yang terdapat di Jakarta, mereka cuba memperkenalkan minuman berkhasiat itu kepada pelancong dan mengubah presepsi masyarakat bahawa jamu adalah minuman harian, bukannya ubat.  Sebenarnya, banyak lagi makanan yang unik di kota Jakarta boleh dirasai ketika melancong di sini dan ia boleh didapati di mana-mana restoran, kafe atau warung makan.

 Ethys (tengah) memberi tunjuk ajar cara-cara mencanting batik.
BATIK: Ethys (tengah) memberi tunjuk ajar cara-cara mencanting batik.

Sementara itu, seni batik yang terdapat di Jakarta juga sangat unik dan mempunyai maksud yang tersirat serta mampu menjadi tarikan pelancong.

Indonesia sememangnya pengeluar produk batik terbesar di Nusantara dan tidak hairanlah pengemar pakaian batik sanggup datang jauh ke negara ini.

Rombongan kami juga berpeluang berkunjung ke pusat pembuatan batik di Batik Gobang dan belajar cara-cara mencanting serta melihat beberapa contoh batik yang terkenal sehingga harganya mencecah ribuan ringgit.

Menurut pemilik Batik Gobang, Ethys Mayoshi, dia cuba mempromosikan flora dan fauna yang terdapat di Jakarta dalam reka bentuk batik yang dibuatnya.

Selain itu, lakaran batik Ethys juga turut mengetengahkan seni budaya dan alat-alat muzik yang terdapat di Indonesia khususnya Jakarta.

Ethys juga turut terlibat dengan pameran-pameran batik besar di seluruh dunia termasuklah di Kota Kinabalu, Sabah.

Penulis juga berpeluang mengujungi Pusat Batik Nusantara yang merupakan pasar raya menjual pelbagai jenis kain dan baju batik terbesar di kota Jakarta.

Rakyat Malaysia khasnya di Sabah yang ingin merasai percutian di luar negara, Jakarta adalah salah satu lokasi yang paling sesuai untuk percutian seisi keluarga.

  • oleh
  • Advertisement