Anda di sini

171 usahawan luar bandar tembusi pasaran antarabangsa

Advertisement
Rubiah ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama
Rubiah ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seramai 171 usahawan luar bandar berjaya menembusi pasaran antarabangsa melalui penyertaan ‘Gate to Global’ di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang, berkata jumlah itu merupakan antara lebih 67,000 usahawan luar bandar yang telah atau sedang mengikuti pelbagai program dan inisiatif keusahawanan di bawah kementerian berkenaan dan agensinya. 

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah merangka ekosistem keusahawanan untuk mereka termasuk menyediakan latihan keusahawanan, pembiayaan peniagaan, menyediakan infrastruktur perniagaan dan khidmat nasihat, akses kepada pasaran dan pendigitalan perniagaan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Rubiah berkata sejak Rancangan Malaysia pertama hingga ke-12, seramai 1.2 juta usahawan menerima kemudahan keusahawanan daripada MARA.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan mengurus berjumlah RM3.62 bilion bagi KKDW dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti selepas dibahas 23 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Terdahulu, peruntukan bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM397 juta turut diluluskan dengan suara majoriti ahli Dewan Rakyat.

Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama 

Advertisement