Anda di sini

Tanah NCR berpotensi dibangun dengan ekonomi baharu

Advertisement

Perdagangan karbon dapat diaplikasi ke atas kawasan mempunyai kecerunan lebih 35 darjah

Uggah (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan BDDA Ketiga. Turut kelihatan Rentap (dua kanan).
Uggah (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan BDDA Ketiga. Turut kelihatan Rentap (dua kanan).

"Tetapi jika anda membiarkan tanah itu tidak disentuh, pokok-pokok akan tumbuh besar selepas beberapa waktu...pokok diketahui menyimpan karbon dioksida dan membebaskan oksigen ke atmosfera."

Datuk Amar Douglas Uggah Embas
Timbalan Premier Sarawak 

KUCHING: Terdapat kawasan-kawasan tertentu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di negeri ini berpotensi untuk dibangunkan dengan ekonomi baharu iaitu perdagangan karbon.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sambil menambah ini dapat diaplikasi ke atas kawasan yang mempunyai kecerunan lebih 35 darjah.

“Apabila anda melakukan penanaman pindah, anda akan menebang dan membakar pokok-pokok di sana.

"Tetapi jika anda membiarkan tanah itu tidak disentuh, pokok-pokok akan tumbuh besar selepas beberapa waktu...pokok diketahui menyimpan karbon dioksida dan membebaskan oksigen ke atmosfera,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) Ketiga di sini, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, pemilik tanah yang mempunyai tanah dengan kecerunan 35 darjah harus tidak digalakkan mengamalkan amalan pertanian pindah.

Sarawak katanya ketika ini giat menceburi bidang kemampanan dan peluang perniagaan baharu itu.

"Saya bercakap dengan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abdul Rahman Zohari Tun Openg (Abang Johari Tun Openg) bagaimana pada masa yang sama, pemilik tanah NCR kita boleh mendapat manfaat daripada ekonomi baharu ini.

"Saya tidak mempunyai butiran buat masa ini tetapi ini adalah cadangan kita," ujarnya.

Menurutnya, ketika bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Rio pada 1992, beliau memberi aku janji bahawa Malaysia akan mengekalkan 50 peratus daripada jisim tanahnya dilitupi hutan.

Sarawak katanya, menyumbang 60 peratus daripada liputan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar Dato Gerald Rentap Jabu yang hadir sama pada sidang media itu berkata, hutan rizab Bukit Sadok di bahagian itu, dengan keluasan lebih 3,000 hektar sangat berpotensi dalam ekonomi perdagangan karbon.

"Ini boleh menjadi sumber pendapatan baharu kepada pemilik-pemilik tanah NCR di sana," kata Rentap.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Uggah yang juga ADUN Bukit Saban mahu ahli jawatankuasa BDDA melihat kawasan-kawasan berpotensi termasuk hutan, tanah NCR dan bukan tanah NCR yang boleh dibangunkan sebagai kawasan penyimpanan karbon.

Ahli jawatankuasa BDDA terdiri daripada ADUN Layar Dato Gerald Rentap Jabu, ADUN Saribas Mohamad Razi Sitam, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Kalaka Mohamad Duri, ADUN Beting Maro Razaili Gapor, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor, ADUN Kabong Mohd Chee Kadir dan Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu.

Mengenai bengkel itu, Uggah berkata ia bertujuan memperhalusi projek-projek BDDA yang boleh dilaksanakan pada tahun ini.

“Kami telah menyenerai pendek jumlah awal projek iaitu sebanyak 69 dengan kos RM740 juta. Kami berharap projek-projek ini dapat mula dilaksanakan tidak lama lagi.

"Kami amat berharap dapat melakukan ini kerana apabila rakyat tahu sudah ada peruntukan untuk tujuan ini, mereka mempunyai harapan yang sangat tinggi.

“Kerajaan juga mengharapkan kami melaksanakannya.

"Selebihnya, kami sedang membuat senarai untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang supaya kami dapat membelanjakan peruntukan RM1.5 bilion yang diberikan kepada BDDA," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif BDDA Abang Mohammad Trukey dan Residen Bahagian Betong Richard Michael Abunawas juga hadir sama.

Advertisement