Anda di sini

Projek naik taraf Jalan Utara Baru bukti keprihatinan kerajaan negeri

Advertisement
RINA
RINA

TAWAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan Rina Jainal menyambut baik usaha kerajaan negeri dan Kementerian Kerja Raya Sabah menaik taraf Jalan Utara Baru.

Rina ketika ditemui berkata, kerja menaik taraf itu adalah langkah tepat dalam memenuhi keperluan pengguna jalan raya yang berdepan masalah kesesakan lalu lintas sejak sekian lama.

“Setiap kali persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Jalan Utara Baru adalah antara perkara yang sering saya bawa untuk diberi perhatian kerajaan negeri.

“Keadaan jalan raya satu lorong sebenarnya tidak dapat menampung jumlah kenderaan yang banyak apatah lagi, Jalan Utara Baru ini adalah satu daripada dua laluan utama penduduk dari Kalabakan ke Bandar Tawau,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, projek menaik taraf jalan berkenaan sudah dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 lagi, namun, tidak dapat dilaksanakan ekoran beberapa kekangan birokrasi di peringkat Persekutuan ketika itu.

“Akhirnya impian penduduk dan saya tercapai apabila kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menyediakan peruntukan khas sebanyak RM206 juta untuk menaik taraf jalan berkenaan.

“Dengan menjadikan laluan kepada dua lorong, saya percaya ia dapat menampung jumlah kenderaan lebih banyak sekali gus mengatasi masalah kesesakan lalu lintas,”katanya.

Dalam pada itu, Rina turut meminta kerajaan negeri meneliti beberapa perkara khususnya berkaitan kebajikan penduduk tempatan yang mungkin terjejas akibat kerja naik taraf jalan berkenaan.

“Antaranya perobohan kediaman di kawasan yang terlibat dengan pembinaan jalan. Biarpun status kediaman adalah setinggan, namun, sebahagian mereka adalah penduduk tempatan sudah menetap lama di situ.

“Perkara ini sudah saya sampaikan kepada pihak Menteri Kerja Raya Sabah untuk diberi perhatian dan pertimbangan,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement