Anda di sini

Pempengaruh media sosial kerugian RM16,799 ditipu 

Advertisement
 

SIBU: Seorang pempengaruh media sosial di sini kerugian RM16,799 selepas tertarik dengan iklan kerja kosong sebagai 'Live-Host' di laman Facebook.

Wanita berusia 28 tahun yang berhasrat menambah pendapatan, menerima tawaran tersebut dan menghubungi suspek yang menawarkan komisen RM1,000 minimum 30 jam seminggu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata pihaknya menerima laporan polis mangsa yang terperdaya dengan tawaran kerja dalam talian menerusi aplikasi Facebook itu jam 10.40 pagi Ahad lalu.

"Mangsa yang bekerja sebagai 'influencer' media sosial itu kemudian diminta mendaftar maklumat peribadi serta dikenakan caj RM1 sebagai yuran pendaftaran dalam satu aplikasi bagi mendapatkan kerja ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, dia bertindak mengisi maklumat perbankan termasuk ID serta kata laluan membayar caj pendaftaran melalui aplikasi diberikan namun menerima mesej menyatakan proses itu tidak berjaya.

"Mangsa kemudian menerima mesej notifikasi terdapat transaksi pemindahan wang berlaku tanpa pengetahuan mangsa," katanya.

Zulkifli berkata, mangsa menyedari dirinya diperdaya selepas mengetahui wang dalam akaun bank miliknya hilang lalu membuat laporan polis pada Ahad lalu.

"Keseluruhan jumlah kerugian dialami mangsa adalah RM16,799," katanya sambil menambah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sehubungan itu, Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak mudah terperdaya dan terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui laman media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan.

Orang ramai boleh membuat semakan dengan balai polis terdekat atau membuat semakan di http://semakmule.rmp.gov.my, CCID Infoline di talian 013-2111222, CCID Response Centre di talian 03- 26101559/03-26101599 atau Facebook CyberCrimeAlertRMP dan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Advertisement