Anda di sini

Pandemik COVID-19 punca empangan Cinta Mata lewat siap

Advertisement
 Shahelmey (tengah) ketika melawat tapak projek empangan air Cinta Mata.
LAWAT: Shahelmey (tengah) ketika melawat tapak projek empangan air Cinta Mata.

TAWAU: Kelewetan tiba tenaga pakar punca projek empangan air Cinta Mata di Gudang Empat tidak dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kelewatan itu akibat penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan tenaga mahir dari China tidak dapat keluar dari negara mereka.

Katanya, perjalanan beberapa tenaga mahir dari China yang menjalankan projek empangan tersebut tergendala akibat pintu sempadan negara mereka masih ditutup ketika itu.

“Namun, saya difahamkan semua tenaga mahir berkenaan sudah tiba dan projek ini sudah dapat diteruskan semula.

“Kita berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun daripada sekarang supaya masalah bekalan air dan banjir di daerah ini dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke daerah Tawau, semalam. Turut mengiringi Pembantu Menteri Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

Menurutnya, setakat ini belum ada peruntukan tambahan yang diumumkan atau dikeluarkan pihak kerajaan untuk meneruskan projek tersebut.

“Kita akan melihat prestasi kemajuan projek ini dan kita juga tidak menolak ia mungkin memerlukan peruntukan tambahan disebabkan kenaikan harga barang binaan.

“Projek ini diluluskan pada tahun 2017 dan dalam tempoh lima tahun sudah pasti berlakunya kenaikan harga barang binaan, yang menyebabkan kos menyiapkan projek itu meningkat,” katanya.

Terdahulu, projek tersebut sepatutnya dijangka siap sepenuhnya dan boleh digunakan pada hujung tahun 2024.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya itu juga, Shahelmey turut melawat bulatan Kalabakan untuk melihat keadaan jalan rayanya yang perlu di naik taraf.

Dalam pada itu, beliau turut melihat keadaan cerun di Felda Umas-Umas yang perlu diperbaiki bagi mengelak mudarat besar terjadi.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sudah mengarahkan pihak konsesi untuk melakukan penyelengaraan segera untuk memulihkan cerun tersebut.

“Saya berharap dalam tempoh setahun, projek baik pulih cerun tersebut dapat disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Shahelmey juga turut meninjau penyiapan lampu isyarat di simpang Taman Semarak yang baharu dipasang bagi mengelak risiko kemalangan di kawasan tersebut.

“Dengan adanya lampu isyarat itu, diharapkan dapat mengawal pergerakan kenderaan yang terlalu banyak dan mengurangkan berlakunya kemalangan jalan raya,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement