Anda di sini

Maritim Malaysia tahan juragan tempatan, enam warga asing

Advertisement
 Juragan dan semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.
TANGKAP: Juragan dan semua warga asing terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

SANDAKAN: Seorang juragan tempatan bersama enam warga asing cuba masuk secara haram ke perairan negara berjaya ditahan di Pulau Libaran, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengesan pergerakan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pasukannya bertindak mengejar dan menahan bot terbabit untuk tujuan pemeriksaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikemudi tekong seorang lelaki warga tempatan berumur 42 tahun.

“Turut ditemukan beberapa penumpang warga asing masing-masing tiga lelaki dan wanita berumur 22 hingga 63 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati hanya seorang sahaja penumpang memiliki dokumen IMM13, manakala yang lain tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, bot terbabit dipercayai melakukan perjalanan dari Pulau Boan, Filipina menuju ke perairan daerah ini.

Zainudin berkata, pasukannya juga mendapati lesen bot yang membawa semua warga asing terbabit sudah tamat tempoh.

“Tekong dan semua warga asing terbabit ditahan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia, manakala bot berkenaan diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan.

“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement