Anda di sini

Lelaki mengaku tidak bersalah beri rasuah RM650 kepada pegawai polis

Advertisement
 Tertuduh diiring keluar dari kamar bicara selepas melalui prosiding di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini.
RASUAH: Tertuduh diiring keluar dari kamar bicara selepas melalui prosiding di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini dengan pertuduhan memberikan rasuah sebanyak RM650 kepada seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan Jun tahun lalu.

Tertuduh, Ghani Ahmad, 39 bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh memberikan suapan sebanyak RM650 kepada seorang pegawai polis berpangkat ASP kira-kira jam 7.45 pagi pada 19 Jun tahun lalu di Bulatan Yayasan Sabah di sini.

Suapan yang diberikan kepada pegawai polis yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu adalah sebagai dorongan agar pegawai terbabit tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh selepas memandu tanpa memiliki lesen memandu.

Tertuduh juga memberikan suapan berkenaan agar pegawai berkenaan membebaskan seorang individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Kota Kinabalu setiap dua bulan sekali.

  • oleh
  • Advertisement