Anda di sini

Sekuntum Bunga Raya

Advertisement
 

Oleh: Shield Sahran

 


SEBUAH basikal berjenama Hercules, produk dari England yang dipasang di Batu Tiga kini diparkir elok di depan tiang rumah papan yang dibina sederet. Basikal itu baru saja dibeli dengan duit upah memasang bendera dan sepanduk parti di tepi jalan. 
     Fen mengintai di sebalik tingkap dan memerhati basikal baharu milik bapanya. Perasaannya meluap-luap mahukan basikal yang serupa. Fen membayangkan, dia mengayuh basikal Hercules dengan emblem Batu Tiga di Kampung Baru. Kawan-kawannya, Ahmad dan Raju pasti melongo cemburu. 
     “Fen! Petang ini Fen jangan keluar merayau. Pa tak mahu Fen balik lambat.” Tiba-tiba, bapa Fen memberi pesan sebelum keluar bekerja di kedai herba sambil menghidupkan enjin Vespa Super keluaran tahun 1966. Fen terpinga-pinga, selama ini bapanya tidak pernah pula bimbang Fen keluar bermain-main dengan Ahmad dan Raju di padang bola sepak.
     “Kenapa Pa?”
     “Budak macam Fen tak perlu tahu,” celah ibu Fen, bercekak pinggang. “Fen duduk saja di rumah, belajar. Bila nak pandai ilmu kira-kira kalau asyik bermain?”
     Fen mencebik, lalu berteleku di bingkai tingkap. Namun matanya masih memerhati basikal Hercules milik bapanya. Fen tahu, bapanya sangat menyukai basikal. Basikal itu dibeli sebagai hobi semata-mata, bukan digunakan untuk turun bekerja. Maka sebab itulah, timbul keinginan Fen untuk meminjam basikal tersebut untuk bersiar-siar. Hanya sebentar saja.
     Beberapa hari lepas, Fen keluar bermain bola sepak dengan Ahmad dan Raju di padang bola sepak pada sebelah petang. Tiga orang budak lelaki yang berusia 10 tahun itu melihat permulaan bulan Mei yang meriah dengan kibaran bendera, sepanduk, laungan dari van serta lori. Ahmad memberitahu mereka, ada parti yang sedang bertanding di Selangor. Dengan wajah yang sedikit keliru, Raju bertanya kepada Ahmad, kenapa parti harus bertanding? 
     “Bukankah sepatutnya parti itu masa untuk bergembira? Macam parti hari lahir Hanani tempoh hari? Ada kek, hadiah, nyanyian lagu selamat panjang umur? Lepas tu kita main rebut kerusi beramai-ramai?”
     “Entahlah, aku pun tak tahu. Aku rasa orang dewasa juga suka parti dan hadiah macam kita,” balas Ahmad. Raju dan Fen mengangguk-angguk setuju.
     Duduk menyewa di Kampung Baru bersama-sama masyarakat majmuk, Fen berkawan baik dengan jiran tetangga. Fen masih ingat, mereka berpindah ke rumah sewa mereka setelah beberapa tahun tinggal di kawasan setinggan lombong timah sekitar Semenyih. Semasa tinggal di sana, Fen suka mendengar cerita penduduk tentang nama Semenyih, kononnya dahulu disebut sebagai Semunyi yang membawa maksud ‘sembunyi’ dalam bahasa Minang. Setelah bapa Fen merasakan kehidupan di situ terlalu menekan, mereka pun berpindah ke Kampung Baru yang majoritinya dihuni oleh orang Melayu. Pernah sekali ibu Fen bertanya pada suaminya ketika baru beberapa hari mereka tinggal di rumah sewa mereka, adakah kehadiran mereka di situ diterima jiran tetangga.
     Lalu bapa Fen menjawab, “Jangan risau, kita diterima. Kita boleh berniaga di sini tanpa gangguan.”
     Kemudian, Fen menyampuk, “Sekurang-kurangnya, Fen boleh hidup tenang. Tak bising-bising.” Ibu Fen terus menjeling tajam. Fen mencebik. Bukankah tinggal di setinggan lombong timah memang bising?
     Sekarang, sudah hampir setahun Fen tinggal di Kampung Baru, Fen merasai bunyi bising itu semula tapi suasananya berbeza. Fen tahu berita pilihan raya umum, Fen terdengar orang tuanya bercakap di ruang tamu. Bapa Fen mengambil upah memasang sepanduk dan bendera di tepi jalan kerana upahnya agak lumayan juga. Cuma sejak akhir-akhir ini, bapa Fen kelihatan sedikit resah. Kemeriahan parti-parti bertanding semakin lama semakin bising. Bapa Fen seperti takut kebisingan di lombong timah berulang lagi.
     Fen melihat suasana di tepi jalan gamat dengan suara penyokong parti. Tak lama lagi pengumuman keputusan pilihan raya umum akan dibuat. Tahun ini menyaksikan persaingan sengit. Kemeriahan parti-parti bertanding disangka tapak pesta keramaian bagi anak-anak kecil yang belum mengerti peperangan orang dewasa. Apabila bapa Fen membawa Fen berjalan ke sekitar Jalan Campbell dan Jalan Hale, Fen dapat merasakan parti-parti orang dewasa sangat melelahkan.
     “Pa, nampaknya pada hari pengumuman keputusan nanti, pasti lebih meriah.”
     “Semoga semuanya baik-baik saja,” ucap bapa Fen, dengan senyuman tipis menghiasi pipi tembamnya.
     “Esok hari orang umum keputusan pilihan raya,” Fen bercakap pada burung yang hinggap di sisi tangga rumahnya. “Kata Ma, kalau orang kami menang, hidup kami di sini akan jadi lebih baik. Tak perlu terbang-terbang jadi macam burung lagi.” Burung tersebut berkicau sebelum terbang ke tempat lain. Mengingatkan Fen tentang datuknya yang datang dari jauh meninggalkan tanah kelahiran demi mencari kehidupan yang lebih baik di tempat yang lain. 
     Kemudian, Fen bangun lalu berlari keluar. Ibu Fen tidak menyedari anak lelaki tunggalnya meninggalkan rumah sewa mereka meskipun sudah dipesan supaya duduk saja di rumah. Bapa Fen sudah dapat menghidu sesuatu yang kurang menyenangkan semasa bekerja memasang bendera dan sepanduk di tepi jalan. Bau-bau permusuhan sudah bertebaran.
     Fen berlari menuju ke padang bola, tempat Ahmad dan Raju serta kanak-kanak yang tinggal di kawasan sekitar berkumpul dan bermain. Seperti yang dijangkakan, Ahmad dan Raju ada di padang bola sepak. Fen segera melambai ke arah mereka dan bertanya khabar. Ahmad dan Raju pula memandang Fen dengan wajah hairan bercampur bimbang. 
     “Fen, bapa kau tak marah kau datang sini?” soal Ahmad dengan nada suara perlahan. “Kau tak dengar apa-apa di rumah?”
     “Kenapa?” Fen terpinga-pinga tidak mengerti. 
     Lantas, Ahmad memberitahu apa yang didengarinya semasa berada di rumah. Hubungan penduduk tidak begitu baik akibat parti-parti bertanding. Masing-masing mahu mengatakan parti mereka lebih baik.
     “Bapa aku kata, lebih baik kau jangan keluar esok. Bahaya. Duduk saja di rumah,” pesan Raju pada Ahmad dan Fen. 
     Fen dan Ahmad saling berpandangan. Mereka tidak tahu apa yang patut diperkatakan kerana mereka sendiri tidak begitu faham kenapa parti-parti saling bermusuhan? Kenapa mereka yang masih muda harus bertoleransi dengan masalah orang dewasa? Kenapa tidak dapat berkawan dan hidup aman saja? Bukankah meletihkan apabila hari-hari bermasam muka? Fen akhirnya pulang ke rumah dengan timbunan pertanyaan yang tiada jawapan. Setibanya Fen di rumah, ibu Fen terkejut kerana menyangka Fen ada di bilik. 
     “Fen! Bila masa kau keluar? Ma sudah pesan tadi sama Fen, duduk saja di rumah!”
     “Ma … kenapa kita tak boleh hidup aman saja?” soal Fen secara tiba-tiba. 
     Ibu Fen terus terkedu mendengar pertanyaan daripada anaknya. Menyedari ibunya tidak dapat memberi jawapan, Fen berlalu pergi dan masuk ke dalam bilik. Fen pun tertidur dengan perasaan bercampur baur.
     Keesokan paginya, Fen bangun awal daripada tidur dan mendengar berita keputusan pilihan raya sudah diumumkan. Parti Gerakan sudah menang di kawasan Batu, Selangor. Bapa Fen tergesa-gesa keluar dari rumah apabila diminta oleh kawannya untuk membantu di bilik gerakan parti. Sempat Fen terdengar perbualan orang tuanya, ketua parti mahu mengadakan perarakan meraikan kemenangan. Belum sempat Fen mahu memberitahu dia mahu ikut serta dalam perarakan, Vespa bapa Fen sudah menjauh pergi. 
     Kemudian, Fen terdengar radio melaporkan berita kemenangan Parti Gerakan, menyaksikan persaingan sengit di Selangor. Ketua Parti Gerakan sudah mendapat izin daripada pihak polis untuk berarak meraikan kemenangan mereka dan akhirnya menyebabkan kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur. Sungguhpun Fen tidak mengerti namun Fen dapat merasakan perarakan itu menimbulkan rasa berdebar-debar yang aneh. Fen teringat pada kawan-kawan baiknya.
     Fen menjengah keluar dari pintu rumah dan terdengar suara-suara orang di luar rumah, semakin lama semakin riuh-rendah. Fen mahu melihat lebih dekat, tapi ibu Fen cepat-cepat mencegah lalu memeluk anaknya dan menutup pintu. 
     “Fen, dengar sini. Hari ini kita duduk saja di rumah. Bila Pa balik nanti, kita pergi ke stesen kereta api. Kita pergi bercuti.”
     Fen mengangguk, tidak tahu apakah perasaannya saat itu. Sebelum mereka bersiap ke stesen kereta api, Fen diminta duduk saja di dalam rumah. Fen juga berulang-ulang kali diingatkan, pagi itu ada perarakan. Bahaya jika Fen keluar bermain di luar.
     Ketika ibu Fen sedang berkemas menyediakan beg pakaian dalam keadaan terburu-buru, Fen mengintai di tingkap bilik lalu terlihat keadaan di luar rumah agak huru-hara. Disebabkan rasa ingin tahu, Fen curi-curi keluar dari rumah. Ternyata, sangkaan Fen benar! Ada orang sedang bergaduh, saling bergelut di atas permukaan tanah yang berdebu. Apabila Fen bertanya dengan orang yang kebetulan lalu-lalang di hadapannya, tak semena-mena Fen dimarahi. Fen terkedu, hatinya bagaikan disiat-siat.
     “Berambuslah! Kau orang tak layak duduk sini!”
     Fen bergegas masuk ke dalam rumah semula dengan air mata yang sedikit bergenang di pelupuk mata. Kenapa tiba-tiba saja sikap penduduk di sini berubah? Kenapa pula tiba-tiba dia dimarahi? Selama ini dia elok saja duduk menyewa di sini bersama-sama orang tuanya, tiada siapa pun yang marah. Kemudian, Fen terdengar radio menyampaikan berita perarakan berlangsung sehingga ke Jalan Campbell dan Jalan Hale, menuju ke Kampung Baru. Fen mahu melihat sendiri kenapa berita perarakan itu kedengaran seperti masalah besar?
     Tanpa meminta izin, Fen akhirnya mengayuh basikal Hercules milik bapanya lalu meninggalkan rumah. Sepanjang jalan, Fen menyedari keadaan di luar rumah lebih teruk daripada pergaduhan yang disaksikan sebentar tadi. Fen masih ingat laluan jalan yang ditunjukkan oleh bapa Fen setiap kali Fen membonceng Vespa bapanya. Lantas, Fen melihat pemandangan yang membuatkan tubuhnya merinding.
     Kumpulan yang menyertai perarakan telah sepakat mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan parti. Dalam perarakan kemenangan parti juga ada perarakan kematian. Seorang lelaki tua yang meninggal dunia akibat sakit tua diarak sepanjang jalan. Dua jenis perarakan menghasilkan bunyi bising yang sangat membingitkan telinga. 
     Akibat terlalu takut melihat apa yang terjadi, Fen berpatah balik. Setibanya Fen di rumah, Fen melihat ibunya menangis berlari ke hulu ke hilir kerana menyangka anaknya hilang. Tapi penduduk di situ hanya memandang dingin ke arah ibunya tanpa membantu. Fen tersinggung melihat keadaan tersebut lalu meluru ke arah ibunya dan mereka saling berpelukan. 
     Malam itu, Fen tidak dapat tidur lena. Hajat mereka untuk pergi bercuti tidak tercapai, bapa Fen belum pulang ke rumah. Sedangkan keadaan di luar rumah kian huru-hara. Ada yang bersenjatakan parang panjang, tombak, dan lembing. Maka, semakin ramai orang yang tidak bersalah dibunuh dan kumpulan kongsi gelap mengambil kesempatan. Akhbar dan radio juga tak henti-henti melaporkan keadaan selepas pilihan raya. 
     Sungguhpun begitu, bapa Fen masih juga tidak pulang ke rumah. Ibu Fen semakin runsing sehingga tidak ada selera makan dan menangis sepanjang hari. Fen tidak mahu keadaan tersebut berterusan, Fen membuat keputusan untuk mencari bapanya. Untuk sekali lagi, Fen menggunakan basikal Hercules bapanya tanpa izin. Sebelum bergerak, Fen melihat jam tangannya yang menunjukkan pukul 8:00 pagi pada tarikh 12 Mei. Fen memberanikan dirinya, lalu menekan pedal basikal. 
     Fen melalui semula jalan yang dilaluinya dua hari lepas dan melihat sendiri kerosakan yang berlaku di sepanjang jalan. Kedai-kedai dirosakkan dengan sengaja. Kenderaan hangus terbakar, percikan warna merah juga bertompok-tompok di tepi jalan. Baunya hanyir dan Fen berasa mual. Namun, Fen bertekad mahu mencari bapanya. Ketika Fen merayau-rayau di kawasan yang biasa disinggahi bapanya, Fen terdengar suara memekik-mekik ke arahnya. Fen tersedar dirinya sedang dikejar oleh sekumpulan pemuda yang bersenjatakan parang. Tanpa membuang masa, Fen mengayuh basikal selaju yang mungkin tapi akhirnya, Fen kelelahan lalu terlanggar tiang lampu. Sekelip mata, Fen jatuh tersembam di permukaan jalan dan mukanya terseret sehingga luka. Namun Fen memaksa diri untuk bangun meskipun seluruh badannya sakit. Pada masa itulah, Fen terserempak dengan bapa Ahmad yang membawa parang juga. Fen tersentak, tubuhnya terus kaku.
     “Fen! Sembunyi bawah sini!” Bapa Ahmad segera menarik lengan Fen lalu Fen disumbat ke dalam bakul sampah besar. Fen menggigil ketakutan. Suara yang memekik-mekik marah itu kian menghampiri tetapi bapa Ahmad segera mengalih perhatian mereka. Sebelum bapa Ahmad pergi bersama mereka, sempat dia berpesan.
     “Fen, pergi rumah pak cik. Bapa Fen ada di sana, bersembunyi. Jangan tunggu lagi, cepat balik rumah!”
     Sepanjang perjalanan balik ke rumah dengan basikal Hercules yang calar-balar, Fen menangis teresak-esak memikirkan kenapa mereka harus hidup saling membenci dan saling berbunuhan? Sedangkan dia yang jatuh daripada basikal saja sudah cukup menyakitkan. Setibanya Fen di rumah, Fen segera mengajak ibunya pergi ke rumah Ahmad kerana bapanya sedang bersembunyi di situ. Pada awalnya, ibu Fen enggan percaya dan menganggap orang seperti bapa Ahmad mahu memerangkap mereka. Tapi ternyata bapa Ahmad tidak berbohong. Bapa Fen terpaksa bersembunyi di rumah Ahmad dan menunggu peluang untuk pulang ke rumah tetapi terhalang kerana ada yang berniat mahu membunuh sesiapa saja yang pernah bekerja dengan Parti Gerakan. 
     “Pa! Mujur Fen jumpa bapa Ahmad! Kalau tak, Fen tak tahu Pa di mana!” luah Fen sebaik saja melihat wajah bapanya. Bapa Fen segera memeluk ahli keluarganya, menangis bersama-sama dan berulang-ulang kali meminta maaf.
     “Pa yang minta Encik Salleh cari Fen. Tapi kawasan rumah kita selalu terjadi pergaduhan. Encik Salleh tak mahu nampak ketara mahu selamatkan Ma dan Fen. Encik Salleh ikut Fen bila nampak Fen di kawasan pasar. Mujur Encik Salleh sempat selamatkan Fen. Esok kita naik kereta api, kita keluar dari tempat ini. Encik Salleh sudah belikan tiket untuk kita semalam.”
     Fen memandang bapanya, ibunya dan Ahmad yang bersimpati nasib keluarga Fen yang terperangkap dalam pergaduhan antara parti. Walau bagaimanapun, Fen lega kerana bapanya selamat. 
     Menjelang hari ke-13 pada bulan Mei, keluarga Fen sudah bersedia untuk menaiki kereta api dengan pertolongan keluarga Ahmad. Pada hari yang sama juga, Rejimen Renjer cuba mengawal rusuhan yang kian meruncing tapi ternyata permusuhan kaum bertambah buruk. Belum sempat Fen dan orang tuanya beredar meninggalkan rumah Ahmad, mereka diserang oleh kumpulan radikal. Encik Salleh dituduh sebagai pengkhianat kerana melindungi orang Parti Gerakan. 
     Melihat mereka datang membawa kayu dan parang, Fen cemas. Ibunya dan ibu Ahmad menjerit ketakutan. Ahmad memeluk ibunya sambil menangis. Di saat bapanya dan bapa Ahmad berusaha menghalang kumpulan tersebut daripada mencederakan ahli keluarga, Fen terlihat sebatang kayu menuju ke arah muka dengan agak pantas! Ibu Fen berteriak, cuba menghalang. Fen pantas memejamkan mata.
     Tiba-tiba, bahunya digenggam erat! Fen membuka matanya semula, jantungnya berdegup laju. Namun, tidak ada kayu terbang ke arah mukanya. Tidak ada orang yang datang menyerang. Tidak ada orang tuanya di hadapan mata. Yang ada cuma secawan kopi, Ahmad dan Raju yang tersenyum ramah.
     “Kenapa kawan? Tiba-tiba saja kau terdiam? Baru sekejap aku dan Raju pergi tandas.”
     Fen menggeleng-gelengkan kepala dan tersedar, rupa-rupanya dia mengelamun terlalu jauh. Teringat masa lalu yang sudah lama ditinggalkan dan tak ingin diulang lagi. Matanya sempat memandang tangan Ahmad yang dihiasi parut. Mana mungkin dia lupa, Ahmad yang menghalang kayu itu hinggap ke kepalanya. Kemudian, bapa Raju bersama kawan-kawan datang menyelamatkan mereka semua. Fen menganggap dirinya bertuah kerana terselamat daripada tragedi 13 Mei. Dia bertuah kerana memiliki kawan yang setia. Maka, Fen membuat keputusan untuk memberi semula kesetiaan tersebut kepada Ahmad dan Raju. Persahabatan mereka berlangsung dalam tempoh yang lama.
     “Sudah 53 tahun. Orang tua kita pun sudah lama meninggal. Tinggal kita di sini, tua macam orang tua kita dulu,” ujar Ahmad, duduk di hadapan Fen dan Raju dengan tenang. Mereka bertiga saling memandang dan mengira kedut di muka masing-masing.
     “Sekarang, kopi rasa lebih manis. Tak pahit macam dulu. Mungkin kita patut kurangkan gula,” seloroh Raju lalu mereka tertawa kecil.
     Sambil menikmati suasana tenang di tepi jalan, melihat penduduk lalu-lalang dan membawa hal masing-masing tanpa sebarang prasangka, benci atau bermusuhan, Fen tersenyum. Akhirnya, Fen berkata pada dua orang kawannya sambil melihat imej bunga raya pada cawan kopinya.
     “Ahmad … Raju, bunga raya ada lima kelopak. Cantik warnanya. Merah. Semoga kita semua tak lupa.” 

 
Advertisement