Anda di sini

Michelle Yeoh terus membanggakan Malaysia, jadi pelakon Asia pertama memenangi Oscar

Advertisement
 
LOS ANGELES: Tan Sri Michelle Yeoh terus membanggakan Malaysia apabila memenangi Anugerah Akademi (Oscars) ke-95 kategori pelakon wanita terbaik menerusi lakonannya dalam filem drama komedi Everything Everywhere All at Once, yang turut dinobatkan Filem Terbaik.

Pelakon kelahiran Ipoh itu juga merupakan pelakon pertama dari Asia memenangi anugerah berprestij itu.

Kejayaan di pentas Oscar itu menambah trofi kemenangan Yeoh untuk filem yang sama termasuk Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe awal Januari, Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Screen Actors Guild (SAG) pada awal Februari dan yang terbaharu Spirit Awards untuk lakonan terbaik.

Yeoh yang memainkan watak sebagai pemilik kedai dobi Evelyn, menewaskan tiga pencabar lain bagi kategori pelakon wanita terbaik - Cate Blanchet (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).

Selain kemenangan Yeoh, Everything Everywhere All at Once turut menerima 11 pencalonan lain serta menyapu bersih enam anugerah lagi - Filem Terbaik, arahan (Daniel Kwan dan Daniel Scheinert), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Key Huy Quan), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jamie Lee Curtis), Lakon Layar Asal, Penyuntingan (Paul Rogers).

Anugerah Oscar untuk kategori pelakon lelaki terbaik dimenangi Brendan Fraser bagi filem The Whale.

Dalam ucapan ringkasnya di atas pentas selepas menerima anugerah itu, Yeoh berkata "buat semua kanak-kanak yang kelihatan seperti saya sedang menonton saat ini, ini adalah bukti impian menjadi kenyataan.

“Dan wanita, jangan biarkan sesiapa memberitahu anda bahawa sudah terlambat untuk mencapai kejayaan."

Filem yang dikategori sebagai "komedi sci-fi tidak masuk akal" menyaksikan Yeoh memainkan peranan sebagai ibu bapa keluarga Cina-Amerika yang memiliki kedai dobi dan terpaksa berdepan penjahat dari angkasa lepas semasa menjalani audit cukai.

Sejak mula membintangi filem Hong Kong pada 1990-an, bekas ratu cantik itu telah menempuh perjalanan berliku sebelum bergelar bintang antarabangsa.

Beliau telah berlakon dalam pelbagai filem dengan melakonkan pelbagai watak, serta dicalonkan untuk pelbagai anugerah.

Lakonan awalnya dalam filem Inggeris termasuk filem Bond Tomorrow Never Dies (1997) menerima pujian antarabangsa dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) membawanya kepada pencalonan British Academy Film Awards (BAFTA).

Kemenangan di Oscars melakar sejarahnya yang tersendiri dan Yeoh muncul sebagai wanita Asia pertama memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik, dan kini dilihat sebagai pelakon yang berjaya di persada antarabangsa. - Bernama 

Advertisement