Anda di sini

Kerjasama dengan Indonesia mudahkan pelaksanaan Grid Borneo

Advertisement

Pembangunan hidroelektrik antara Sarawak Energy Berhad, syarikat Indonesia bolehkan Sarawak realisasi projek itu

AWANG TENGAH
AWANG TENGAH

"Kita tahu di Sarawak ini kita akan memberi penekanan kepada pembangunan sektor tenaga, tenaga diperbaharui dan kita mempunyai potensi untuk kawasan tersebut dibangunkan dengan kuasa hidro.” 

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
Timbalan Premier Sarawak 

Oleh Agnes Tugong

KOTA SAMARAHAN: Pembangunan projek hidroelektrik berkapasiti 1,375 megawatt antara Sarawak Energy Berhad dan syarikat Indonesia di Kalimantan Utara akan membolehkan Sarawak merealisasikan projek Grid Borneonya. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, meskipun projek hidroelektrik ini berada di Indonesia, ia akan memudahkan Sarawak melaksanakan Grid Borneo. 

"Kita tahu di Sarawak ini kita akan memberi penekanan kepada pembangunan sektor tenaga, tenaga diperbaharui dan kita mempunyai potensi untuk kawasan tersebut dibangunkan dengan kuasa hidro. 

"Kalau semua dibangunkan, ia akan menjadi sebahagian daripada kuasa tenaga terutama untuk kawasan ini (Kalimantan Utara)," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan cek pampasan tanah bagi projek-projek di bahagian Samarahan di Dewan Suarah Kota Samarahan di sini hari ini.

Bercakap mengenai projek hidroelektrik yang akan dibangunkan di Kalimantan Utara itu, ia akan membekalkan tenaga elektrik kepada taman perindustrian yang sedang dibangunkan di Kalimantan Utara. 

Dari segi implikasinya kepada Sarawak, pertama ia akan membolehkan Sarawak mengadakan perhubungan dari segi talian transmisi tenaga antara Sarawak dan Indonesia. 

Implikasi kedua katanya, lebih banyak lagi pembangunan di Nusantara, ibu negara Indonesia yang baharu dijangka akan memberi impak kepada Sarawak. 

"Sekurang-kurangnya kita dapat melengkapi antara satu sama lain. Sebab itu kita juga rancang pembangunan sempadan bersama.

"Kerajaan Malaysia sudah bersetuju untuk memberi keutamaan kepada kawasan Tebedu, Entikong dan kawasan Ba'Kelalan serta Long Midang di Indonesia," ujarnya. 

Advertisement