Anda di sini

Ukraine tahan dua disyaki terlibat kemusnahan pesawat Antonov-225 

Advertisement
 Gambar fail diambil pada 8 April, 2022 menunjukkan pesawat kargo Antonov An-225 ‘Mriya’ yang musnah selepas serangan di lapangan terbang Hostomel di barat laut ibu negeri Kiev semasa pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine. — Gambar AF 
MUSNAH: Gambar fail diambil pada 8 April, 2022 menunjukkan pesawat kargo Antonov An-225 ‘Mriya’ yang musnah selepas serangan di lapangan terbang Hostomel di barat laut ibu negeri Kiev semasa pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine. — Gambar AF 

KIEV: Perkhidmatan keselamatan SBU di Ukraine kelmarin mengumumkan penahanan dua bekas pegawai aeroangkasa yang disyaki terlibat dalam kemusnahan pesawat kargo terbesar di dunia, Antonov-225, sejurus selepas pencerobohan Rusia.

Dengan lebar sayap 88 meter, pesawat unik Antonov An-225 dinamakan sebagai “Mriya”, yang bermakna “mimpi” dalam bahasa Ukraine, telah dimusnahkan pada tahun lepas semasa serangan ke atas Lapangan Terbang Gostomel berhampiran Kiev, di mana ia disimpan di sebuah hangar.

Lapangan terbang berkenaan menyaksikan pertempuran sengit sejurus selepas bermulanya pencerobohan pada 24 Februari, 2022 ketika Rusia cuba untuk merampas hab itu dan menggunakannya untuk membawa perkakasan senjata ke Kiev.

Pesawat Mriya dimusnahkan dalam beberapa hari pertama pencerobohan Moscow. Ia telah digunakan untuk menerbangkan peralatan perubatan dari China ketika pandemik pada 2020.

SBU menuduh beberapa pegawai kanan di syarikat pertahanan Antonov, pengeluar pesawat, menghalang tentera Ukraine dari melindungi lapangan terbang sebelum pencerobohan itu.

“Menurut siasatan, pada petang pencerobohan berskala penuh, para pegawai itu tidak membenarkan Pengawal Negara Ukraine untuk memasuki kawasan di lapangan terbang Gostomel bagi bersedia untuk pertahanannya,” kata SBU dalam satu kenyataan.

SBU berkata pegawai Antonov pada Januari dan Februari melarang tentera Ukraine membentuk  kubu pertahanan di lapangan terbang dan tidak membenarkan mereka masuk.

Seorang bekas timbalan ketua pengarah bagi pertubuhan negeri Antonov “sekarang bersembunyi dari pengadilan”,  kata SBU, manakala dua tertuduh lain – bekas ketua pengarah dan ketua bagi unit keselamatan penerbangan – telah ditahan.

Mereka berdepan dengan hukuman penjara selama 15 tahun sekiranya disabitkan kesalahan menghalang aktiviti sah tentera Ukraine. — AFP

Advertisement