Anda di sini

Sepanyol digegar dakwaan rogol berkumpulan budak bawah umur 

Advertisement

Mangsa berusia 11 tahun didakwa diacu pisau, dirogol enam kanak-kanak bawah umur di dalam tandas di pusat beli-belah 

 

BARCELONA: Sepanyol pada minggu ini digegarkan oleh dakwaan seorang budak perempuan berusia 11 tahun dirogol secara berkumpulan oleh kanak-kanak bawah umur berhampiran Barcelona, mencetuskan perdebatan sengit mengenai bagaimana untuk menghentikan keganasan yang meningkat dalam kalangan golongan muda.

Televisyen Catalan melaporkan insiden itu berlaku pada November di sebuah pusat beli-belah di Badalona, dengan mangsa yang diacukan pisau dipaksa masuk ke dalam tandas oleh enam kanak-kanak bawah umur yang kemudian merogolnya.

Ketika disoal oleh AFP, polis wilayah Mossos d’Esquadra mengesahkan mereka menerima aduan pada Disember mengenai “serangan seksual” yang meliputi pelbagai kesalahan, termasuk rogol – melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Namun mereka menolak untuk memberikan maklumat lanjut, memetik usia kanak-kanak yang terlibat.

Pendakwa raya turut menyatakan mereka tidak dapat mengesahkan “sebarang maklumat mengenai tuntutan mahkamah kerana siasatan sedang dilakukan secara tertutup”.

Pihak berkuasa tempatan di Badalona, sebuah pekan tepi pantai dengan 223,000 penduduk terletak 10 kilometer di utara Barcelona, menyuarakan “kesanggupan” untuk menyertai pendakwaan dalam mana-mana perbicaraan masa depan “untuk membela mangsa serangan seksual berkumpulan itu”.

Di bawah undang-undang Sepanyol, mana-mana pihak ketiga boleh menyertai pendakwaan, malah sekiranya mereka tidak mengalami bahaya secara langsung.

Bagaimanapun, dengan laporan media menyatakan kebanyakan suspek berusia bawah 14 tahun – usia yang sah bagi tanggungjawab jenayah di Sepanyol – sebahagian kemungkinan akan dihadapkan ke perbicaraan.

Beberapa minggu lepas, pejabat pendakwa raya juvana memohon supaya dua suspek yang paling tua, berusia 14 tahun, ditahan di sebuah pusat khas, namun hakim bersetuju hanya bagi satu kes, dengan yang lain dibenarkan bebas di bawah pengawasan, lapor akhbar El Pais. 

Laporan media menyatakan abang mangsa telah menerima pesanan berbaur ugutan daripada orang yang tidak dikenali selepas keluarga mereka memfailkan aduan kepada polis, yang berjaya mengesan orang yang menghantar pesanan tersebut.

Kelmarin, bahagian juvana dalam mahkamah tinggi Catalonia mengesahkan telah menghantar pengirim pesanan tersebut, seorang kanak-kanak bawah umur, ke sebuah pusat tertutup bagi penahanan selama enam bulan “kerana menghalang kehakiman dan ugutan berhubungan dengan satu tuntutan mahkamah terhadap serangan seksual berkumpulan ke atas seorang budak perempuan di Badalona”. 

Kes itu membangkitkan kebimbangan meluas di Sepanyol mengenai peningkatan jumlah serangan seksual oleh pelaku bawah umur.

“Sebagai sebuah masyarakat, kami mempunyai satu masalah dan  kami perlu segera melaksanakan pendidikan emosional dan seksual bagi kanak-kanak bawah umur,” jurucakap polis wilayah Montserrat Escude memberitahu wartawan. 

“Situasi memerlukan apa yang kita fahami dan memeriksa apa yang berlaku kepada kami sebagai sebuah masyarakat, kerana kelakuan sebegini tidak dapat diterima apalagi untuk menjadi sesuatu yang normal,” katanya.

Data yang dikeluarkan oleh polis Catalan menunjukkan pada tahun lepas, 12 peratus daripada jenayah seksual di wilayah timur laut Sepanyol telah dilakukan oleh kanak-kanak bawah umur.

“Ketika pesalah menjadi semakin muda, maka kami harus mempertingkatkan pendidikan seks untuk remaja,” menurut ruangan pengarang dalam akhbar La Vanguardia kelmarin, menyatakan pornografi adalah satu kebimbangan utama berkenaan dengan keganasan seksual remaja.

Pada tahun lepas, polis menyiasat 1,023 kanak-kanak bawah usia 14 tahun atas pelbagai kesalahan, di mana kira-kira 100 melibatkan jenayah seksual, menurut akhbar itu lagi. — AFP

Advertisement