Anda di sini

Waris kanak-kanak dikesan bantu urusan hak penjagaan

Advertisement
 Bilal kanak-kanak yang sudah dijaga selama enam tahun oleh penjaga.
KESAN: Bilal kanak-kanak yang sudah dijaga selama enam tahun oleh penjaga.

KOTA KINABALU: Pelindung Kanak-Kanak dari Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Beluran sedang mengesan keluarga atau waris seorang kanak-kanak lelaki yang dikenali sebagai Bilal Abdullah yang kini dianggarkan berumur 12 Tahun 11 Bulan yang juga mangsa pengabaian. 

Pejabat itu dalam satu kenyataan berkata usaha itu adalah bagi menguruskan dokumen untuk urusan hak penjagaan kanak-kanak ini.

“Dokumen terbabit diperlukan bagi memudahkan segala urusan persekolahan, kebajikan dan perubatan kanak-kanak tersebut. 

“Ahli keluarga atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan waris kanak-kanak ini diminta tampil membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan berkaitan,” katanya.

Tambahnya kes ini sedang diambil tindakan mengikut Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016). 

Tambahnya sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Pelindung Kanak-Kanak Daerah Beluran Mohd Hafiz Ahmad melalui talian telefon 016-5528340 dan talian pejabat 089- 518301.

Terdahulu penjaga kanak-kanak ini memaklumkan didatangi seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak terbabit enam tahun lalu semasa bersama suaminya di Pekan Kecil Paitan.

Wanita terbabit meminta untuk menjaga anak lelakinya (Bilal) yang berumur lebih kurang lima tahun sementara ibu kandung kanak-kanak terbabit hendak membeli barang keperluan.

Setelah menunggu selama tiga jam wanita itu bagaimanapun tidak kembali untuk mengambil anaknya dan mereka tidak menemukan wanita itu di kawasan pekan terbabit.

Penjaga dan suami sepakat untuk membawa Bilal balik ke rumah dan memandangkan mereka tidak tahu nama kanak-kanak itu, penjaga dan suami memberi nama kanak- kanak itu sebagai Bilal Abdullah. 

Sehingga ke hari ini, penjaga dan suami sudah menjaga kanak-kanak tersebut lebih kurang enam tahun, namun tiada ahli keluarga mahupun ibu bapa kanak-kanak datang untuk menuntut kanak-kanak tersebut. 

Pengadu telah menemui Pelindung Kanak-Kanak bagi memohon bantuan untuk urusan hak penjagaan bagi memudahkan segala urusan berkaitan.

  • oleh
  • Advertisement