Anda di sini

Tembakan di Hamburg ragut tujuh nyawa

Advertisement

Serangan ke atas gereja Jehovah’s Witness itu turut mencederakan lapan orang

Anggota pasukan keselamatan dilihat di lokasi selepas insiden tembakan di sebuah gereja Jehovah’s Witness di Hamburg pada lewat kelmarin. — Gambar AFP
Anggota pasukan keselamatan dilihat di lokasi selepas insiden tembakan di sebuah gereja Jehovah’s Witness di Hamburg pada lewat kelmarin. — Gambar AFP

HAMBURG: Tujuh orang maut manakala lapan lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah gereja Jehovah’s Witness di Hamburg, dengan lelaki bersenjata dipercayai antara yang terkorban, kata polis Jerman kelmarin.

Panggilan kecemasan yang pertama dilakukan pada kira-kira jam 8.15 malam waktu tempatan selepas tembakan kedengaran di bangunan di utara Hamburg, kata jurucakap polis di tempat kejadian.

“Beberapa orang mengalami kecederaan serius,” kata polis di Twitter.

“Buat masa ini tiada maklumat yang boleh dipercayai mengenai motif jenayah tersebut,” tambah mereka, menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi.

Pihak polis telah mengeluarkan amaran bagi “bahaya ekstrem” di kawasan itu dengan menggunakan aplikasi amaran bencana.

Penduduk harus tidak keluar dari rumah dan mengelakkan kawasan tersebut, kata polis, sambil menambah bahawa jalan raya di sekitar bangunan itu telah ditutup.

Pasukan polis yang pertama tiba di tempat kejadian menemui beberapa mayat dan orang yang mengalami kecederaan serius.

Mereka turut mendengar satu das tembakan di “bahagian atas bangunan” sebelum menemui satu mayat di kawasan di mana ia telah kedengaran.

“Kami tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai pelaku yang melarikan diri,” kata jurucakap polis.

Sebaliknya, pihak berkuasa memiliki petunjuk bahawa seorang pelaku mungkin telah berada di dalam bangunan dan mungkin antara mangsa yang terkorban.

Jurucakap menambah bahawa orang yang ditemui di tingkat atas bangunan adalah “kemungkinan” pelaku.

Di dalam bangunan tiga tingkat tersebut, pihak polis berkata satu acara telah diadakan pada petang kelmarin.

Akhbar tempatan Hamburger Abendblatt melaporkan 17 orang yang tidak tercedera, yang menyerati acara itu, telah diberi bantuan oleh jabatan bomba.

Kira-kira 175,000 orang di Jerman, termasuk 3,800 di Hamburg, adalah pengikut Jehovah’s Witnesses, satu pergerakan Kristian Amerika Syarikat yang ditubuhkan pada lewat kurun ke-19 yang mengajar tentang tiada keganasan dan terkenal dengan pengajaran agama dari rumah ke rumah.

Datuk bandar Peter Tschentscher meluahkan rasa terkejutnya dengan insiden tembakan itu menerusi Twitter.

Menyampaikan ucapan simpatinya kepada keluarga mangsa, beliau berkata pihak perkhidmatan kecemasan sedang melakukan sedaya-upaya untuk menangani situasi itu.

Jerman telah digegarkan oleh beberapa serangan sejak beberapa tahun lepas, kedua-duanya oleh kumpulan pelampau dan ekstremis haluan kanan.

Antara insiden paling berdarah adalah rempuhan dengan trak di sebuah pasar Krismas Berlin pada Disember 2016 yang mengorbankan 12 orang.

Penyerang, seorang pemohon suaka yang gagal dari Tunisia, merupakan penyokong militan Daesh (IS). 

Negara paling padat penduduk di Eropah ini kekal menjadi sasaran kumpulan pelampau terutama disebabkan oleh penglibatannya dalam pakatan anti-IS di Iraq dan Syria. 

Di antara 2013 dan 2021, jumlah penduduk Islam di negara itu meningkat lima kali ganda kepada 615 orang, menurut data dari kementerian dalam negeri.

Jerman turut dilanda oleh beberapa serangan haluan kanan sejak beberapa tahun ini, menimbulkan tuduhan bahawa kerajaan tidak berusaha secukupnya untuk menangani keganasan neo-Nazi. 

Pada Februari 2020, seorang ekstremis haluan kiri menembak mati 10 orang dan mencederakan lima yang lain di bandar Hanau di tengah Jerman.

Pada 2019, dua orang maut selepas seorang pengikut neo-Nazi cuba untuk menyerbu saumaah di Halle pada hari cuti Yahudi Yom Kippur. — AFP
 

Advertisement