Anda di sini

Sinurai bakal dinaik taraf sebagai pekan baharu

Advertisement
 Joachim (tengah) dan Jumain (dua kiri) mendengar penjelasan daripada seorang Pegawai Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah ketika melihat cadangan Pelan Pekan Baharu Sinurai di sini.
TAKLIMAT: Joachim (tengah) dan Jumain (dua kiri) mendengar penjelasan daripada seorang Pegawai Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah ketika melihat cadangan Pelan Pekan Baharu Sinurai di sini.

RANAU: Kampung Sinurai dicadangkan untuk dinaik taraf dan dijadikan sebagai pekan kecil seiring pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kundasang Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata perancangan pekan baharu ini bagaimanapun masih dalam bentuk konsep serta cadangan awal.

“Cadangan dilakukan untuk mewujudkan sebuah pekan kecil yang dilihat berpotensi dan sesuai sebagai satu permulaan yang baik demi kebaikan warga Ulu Sugut dan Kampung Sinurai dipilih untuk cadangan ini.

“Kita mahu membangunkan kawasan ini bagaimanapun sekiranya ada bantahan maka ini akan menyukarkan proses ini,” katanya semasa menghadiri taklimat cadangan pelan konsep Pekan Baharu Sinurai yang disampaikan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah Augus Tamaning. 

Joachim berkata Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPBB) perlulah berhubung dengan Pejabat Daerah Ranau untuk meninjau keadaan persekitaran kawasan terbabit untuk tindakan lanjut.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan penyelarasan projek dibawah kementerian beliau yang ada di Sabah terutamanya daerah yang dikategorikan miskin,” katanya.

Terdahulu Joachim menghadiri taklimat daripada Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau mengenai projek menaik taraf Jalan Terawas-Malinsau-Kaingaran dan projek membina jalan ke Mini Estat Sejahtera (Mesej) Mansalu yang diadakan di Kampung Meridi.  

“Penduduk di kawasan ini akan bakal menikmati kemudahan jalan raya pada 2025 demi merancakkan lagi kegiatan ekonomi terutamnya bagi memasarkan hasil barangan dari pelbagai jenis produk seterusnya meningkatkan taraf hidup rakyat dari semasa ke semasa,” katanya. 

Sementara itu Ketua Kampung Sinurai Robert Kindungu berkata sebagai wakil penduduk di kampung tersebut beliau menyatakan pendirian mereka yang amat menyokong penuh cadangan menjadikan Sinurai sebagai pekan kecil.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Ranau Jumain Abdul Ghani, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau Jupirin Ruhimin, Setiausaha Politik kepada Joachim Yubidi Gumpoyo dan Pengurus LPBB Ahmad Shah Mohd Yaacob.

  • oleh
  • Advertisement