Anda di sini

RM2 juta diluluskan naik taraf Pusat Kebudayaan Murut Sabah

Advertisement
 Hajiji (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Penganjur Datuk Rubin Balang ketika di majlis berkenaan.
TERIMA KASIH: Hajiji (dua kiri) menerima cendera kenangan daripada Pengerusi Penganjur Datuk Rubin Balang ketika di majlis berkenaan.

TENOM: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi kerja-kerja menaik taraf Pusat Kebudayaan Murut Sabah dalam usaha memperkasakan daya tarikan pelancongan di sini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerja naik taraf itu akan melibatkan tiga komponen iaitu, Rumah Pokok, Replika Perkuburan dan Rumah Tengkorak.

"Projek ini sudah pasti akan menambah nilai daya tarikan pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah dan seterusnya mewakili budaya dan tradisi kaum Murut," katanya ketika melancarkan Pesta Kalimaran di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memandang pentingnya budaya dan kesenian pelbagai perayaan etnik seperti Pesta Kalimaran.

 Hajiji disambut Pengerusi Penganjur Datuk Rubin Balang dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Elron Angin ketika tiba di majlis berkenaan.
MERIAH: Hajiji disambut Pengerusi Penganjur Datuk Rubin Balang dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Elron Angin ketika tiba di majlis berkenaan.

"Ia juga akan membantu dalam mempromosi, memelihara dan memartabatkan budaya serta kesenian kepelbagaian etnik di Sabah.

"Pesta Kalimaran juga berpotensi dikembangkan untuk menjadi perayaan yang mempersembahkan kekayaan dan keunikan budaya, seni dan tradisi komuniti Murut kepada seluruh negara dan peringkat antarabangsa.

"Sementara Sabah sudah sememangnya terkenal dengan destinasi eko pelancongan, pelancongan berasaskan kebudayaan juga perlu diberikan tumpuan.

"Kepelbagaian dan keunikan tradisi serta seni kebudayaan 35 etnik, 217 kumpulan sub etnik di Sabah merupakan satu kekuatan yang perlu dimanfaatkan dalam pelancongan berasaskan kebudayaan," katanya.

 Hajiji bersama-sama Pengerusi Penganjur Datuk Rubin Balang merakamkan gambar kenangan bersama seorang pahlawan Murut.
ALBUM: Hajiji bersama-sama Pengerusi Penganjur Datuk Rubin Balang merakamkan gambar kenangan bersama seorang pahlawan Murut.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri telah menetapkan beberapa keutamaan seperti, mendigitalkan seni budaya atau eBudaya, pelancongan budaya bersepadu, pemeliharaan budaya, mengeratkan hubungan etnik, penyelidikan dan dokumentasi budaya, penyebaran seni budaya serta perlindungan harta intelek kebudayaan.

Katanya, kesemua keutamaan itu adalah selari dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya menerusi Lembaga Kebudayaan Sabah yang mahu kebudayaan diwariskan kepada generasi akan datang.
 

  • oleh
  • Advertisement