Anda di sini

Pembangunan T-MEGA bersifat inklusif: Hashim

Advertisement
Hashim (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Len sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab (tiga kiri) dan yang lain. -  Gambar UKAS
Hashim (empat dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Len sambil disaksikan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis Ir Yusuf Abdul Wahab (tiga kiri) dan yang lain. - Gambar UKAS

TANJUNG MANIS: Pembangunan Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) bersifat inklusif kerana bukan sahaja dibangun untuk industri-industri bersekala besar yang dipromosikan, tetapi juga membawa transformasi sosioekonomi luar bandar yang memberi impak positif kepada kemakmuran kehidupan rakyat setempat dan Sarawak amnya.

Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Datu Hashim Bojet berkata, PUSAKA memain peranan penting sebagai perancang, pemudah cara dan pelaksana dasar pembangunan kerajaan khususnya di Tanjung Manis sejak 1990.

Beliau berkata, penglibatan PUSAKA dalam pembangunan Tanjung Manis telah menyaksikan evolusi di kawasan Tanjung Manis dari sebuah perkampungan nelayan yang dikelilingi hutan paya bakau kepada hab pelaburan yang dinamik serta dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur.

"Selaras dengan agenda pembangunan kerajaan, PUSAKA berjaya melaksanakan pelbagai projek khususnya dalam kawasan T-MEGA.

"Kejayaan pembangunan T-MEGA bergantung kepada faktor pemboleh yang telah dan akan kita (PUSAKA) buat dengan sokongan semua pihak," ujarnya semasa berucap pada majlis pelancaran Sukan Rakyat dan Aktiviti Sempena Hari Tanjung Manis Ke-33 di Padang Bola Speak Tanjung Manis, hari ini.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif yang juga Ahli Lembaga Pengurusan PUSAKA.

Mengulas lanjut, Hashim berkata T-MEGA yang dibangunkan sejak 1990 memberi fokus kepada pelaburan dalam industri-industri seperti perkayuan, perikanan laut dalam, perkapalan, Kluster Minyak Sawit (POIC), petroleum dan gas serta industri pertanian dan pemprosesan produk makanan.

Dalam 15 tahun lepas katanya, PUSAKA memberi fokus kepada pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, pembekalan air, elekrik, telekomunikasi serta kemudahan logistik seperti pelabuhan, pontun serta lain-lain dan terkini Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak (Daerah Tanjung Manis).

"Kos pelaburan kerajaan untuk infrastruktur bagi T-MEGA telah mencecah RM3.4 bilion sementara pelaburan dalam industri-industri dalam T-MEGA kini mencecah RM1.4 bilion dan sejumlah RM1.1 bilion pelaburan baharu berpotensi direalisasikan menjelang 2030," jelasnya.

Dalam pada itu, dengan siapnya prasarana asas dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), beliau berkata sehingga 2030 pembangunan di T-MEGA memberi fokus pelaburan baharu seperti Taman Pembinaan Kapal dan Kejuruteraan Marin Paloh dengan kos infrastruktur sebanyak RM785 juta.

Sebaliknya kata Hashim, anggaran potensi pelaburan RM450 juta dianggarkan untuk 'decommissioning' dan RM480 juta untuk perkapalan yang berpotensi menjana jumlah pelaburan sebanyak RM1.45 bilion serta peluang pekerjaan sebanyak 3,000 dalam masa 10 tahun. 

"Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN) menganggarkan pelaburan di Taman Pembinaan Kapal dan Kejuruteraan Marin Paloh berpotensi menjana nilai eksport sebanyak RM1.5 bilion setahun," katanya.

Mengenai sektor pertanian dan industri ternakan, beliau berkata T-Mega juga akan memberi fokus kepada mempromosi pelaburan dalam aktiviti pengeluaran dan pemprosesan makanan bagi menyokong agenda kerajaan dalam aspek 'Keselamatan Makanan.'

Katanya, sasaran kerajaan ialah untuk mengurangkan jurang defisit perdagangan makanan yang dijangka naik kepada RM6 bilion daripada RM3.8 bilion pada masa ini. 

"T-MEGA juga menerima pelaburan baharu oleh 30 pemain industri di Lot 659 dan 657 yang berupaya menjana pelaburan sebanyak RM390 juta.

"Selain itu, T-MEGA berupaya menyediakan 450,000 benih buluh setahun bagi menampung keperluan ladang buluh bersekala besar dan juga peladang kecil.

"Dalam sektor pelaburan industri perabot untuk pasaran eksport, pelabur dari China dan tempatan berminat untuk melabur dalam sektor pembuatan perabot kayu di dua buah taman perabot di Tanjung Manis dan Demak. Anggaran pelaburan adalah sekitar RM200 juta dengan sasaran nilai eksport sejumlah RM4 bilion menjelang 2030," katanya.

Oleh itu, beliau menyeru agar semua pihak termasuk wakil rakyat setempat, pemimpin, ketua kaum dan semua pegawai-pegawai kerajaan dan seluruh penduduk kawasan Tanjung Manis supaya terus bekerja keras serta berganding bahu untuk meneruskan dan merealisasikan agenda pembangunan di kawasan Tanjung Manis demi kemakmuran rakyat.
 

  • oleh
  • Advertisement