Anda di sini

Kes penyakit berkaitan pencemaran udara meningkat di Thailand

Advertisement
 

BANGKOK: Kira-kira 200,000 penduduk di seluruh Thailand dilaporkan mendapatkan rawatan untuk penyakit yang dikaitkan dengan pencemaran udara pada minggu ini, berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) PM2.5 menunjukkan paras bacaan tidak sihat.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Dr Opas Karnkawinpong berkata pada minggu ini, penyakit berkaitan pencemaran udara menunjukkan trend peningkatan daripada 161,839 kepada 196,311 kes. 

Beliau berkata penyakit berkaitan pencemaran udara dilaporkan termasuk 583,238 kes penyakit pernafasan, 267,161 (jangkitan kulit), 242,805 (jangkitan mata) dan 208,880 (kardiovaskular dan cerebrovascular).

Sejak 1 Jan hingga 5 Mac tahun ini, lebih 1.3 juta penduduk sakit disebabkan pencemaran udara.

“Paras PM2.5 lebih tinggi tahun ini berbanding 2022, sebahagiannya kerana semasa pandemik COVID-19, jumlah penumpang yang melakukan perjalanan berkurangan dan mengakibatkan pencemaran berkurangan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada minggu paras bacaan PM2.5 di kebanyakan wilayah terutamanya di Bangkok dan di wilayah utara telah melebihi had selamat, menurut jabatan pencegahan pencemaran.

Sehingga 1 tengah hari (waktu tempatan) hari ini, bacaan IPU di Chiang Mai direkodkan pada tahap 191 iaitu tahap paling tidak sihat di dunia, menurut IQAir.

Bangkok menduduki tempat ke-10 di dunia dengan bacaan IPU dicatatkan pada 153.

Dr Opas berkata keadaan jerebu di Thailand dijangka bertambah baik secara beransur-ansur dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.

Sementara itu, Pengarah Hospital Noppharat Rajathanee, Kriangkrai Namthaisong menggesa orang ramai terutama wanita hamil, kanak-kanak dan warga emas agar mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka.

Beliau menggesa orang ramai memakai topeng antipencemaran N95 ketika berada di luar rumah bagi mengurangkan risiko jangkitan pernafasan. - BERNAMA
 

Advertisement