Anda di sini

Francais antara industri terpantas untuk memulihkan ekonomi negara: Uggah

Advertisement
Uggah menyaksikan penyerahan plak daripada Smart Reader Worldwide Sdn Bhd yang diserahkan oleh Richard kepada Sylvia. - Gambar Muhammad Rais Sanusi
Uggah menyaksikan penyerahan plak daripada Smart Reader Worldwide Sdn Bhd yang diserahkan oleh Richard kepada Sylvia. - Gambar Muhammad Rais Sanusi

KOTA SAMARAHAN: Francais merupakan salah satu industri terpantas untuk memulihkan ekonomi negara, selain menambah bilangan usahawan di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, atas sebab itu usahawan tempatan digalakkan untuk menceburi industri francais yang mampu meningkatkan momentum ekonomi, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

"Kerajaan telah lama menyedari bahawa industri (francais) adalah cara terpantas untuk mencipta dan menambah bilangan usahawan tempatan serta mempromosikan industri francais di negeri ini.

"Sehubungan itu, kita (kerajaan) menggalakkan lebih banyak pihak untuk menceburi industri ini kerana potensinya yang besar," ujarnya pada majlis perasmian Smart Reader Kids di Taman Desa Ilmu di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Smart Reader Worldwide Sdn Bhd Datuk Seri Dr Richard Ong, Pemegang Francais Smart Reader Kids Sylvia Thomas serta Pengarah Eksekutif Smart Reader Worldwide Sdn Bhd Kevan Ong dan Keefe Ong.

Uggah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembangunan francais.

"Ini termasuk skim pembiayaan francais, dana bantuan pembangunan francais, skim pembiayaan francais kecil dan program pembangunan francais dan produk francais tempatan.

"Kementerian juga telah menetapkan sasaran untuk industri itu berkembang antara 20 dan 30 peratus tahun ini," katanya lagi.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga menggesa ramai usahawan untuk mengeksploitasi industri berkenaan.

"Sarawak setakat ini hanya mempunyai 11 syarikat francais yang melibatkan kategori seperti makanan dan minuman, kesihatan, kesejahteraan dan perkhidmatan.

"Menurut MFA, sehingga Disember tahun lepas, sebanyak 1,154 jenama francais telah berdaftar dengan KPDN, manakala jenama dari Malaysia telah pun bertapak di 72 negara," ujarnya.

Mengenai perasmian Smart Reader Kids di Taman Desa Ilmu hari ini, Uggah berharap agar anak-anak diberikan dengan ilmu pengetahuan sebaik mungkin agar mereka menjadi insan berguna suatu hari nanti.

"Bagi tujuan ini, pendidikan awal kanak-kanak amat penting kerana pengalaman pembelajaran pertama kanak-kanak boleh mempengaruhi perkembangan mereka secara mendalam.

"Dengan komitmen Smart Reader Kids ke arah pembangunan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan selamat untuk kanak-kanak, saya percaya kita boleh mencapai matlamat ini dengan berkesan," katanya.

Justeru, beliau berharap pihak pengurusan Smart Reader Worldwide Sdn Bhd akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak sekolah berkenaan di negeri ini. 

"Saya pasti ibu bapa akan mengalu-alukan sekolah seperti ini sebagai pilihan utama yang disokong oleh program antarabangsa yang memenangi pelbagai anugerah. 

"Antaranya, Smart Reader Creative Teaching Methodology di mana pendidikan harus kreatif, mudah dan paling penting menyeronokkan," jelasnya lagi.

Sementara itu, Richard berkata pusat pembelajaran itu mewakili pusat Smart Reader Kids ke-22 di Sarawak dengan pusat pertamanya dilancarkan hampir 20 tahun lalu. 

Menurutnya, selama ini kerajaan, kementerian dan masyarakat Sarawak sentiasa menyokong Smart Reader Kids.

"Justeru, kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Sarawak atas sokongan tidak ternilai mereka ke arah pertumbuhan dan pembangunan Smart Reader Kids di sini. 

"Dengan aspirasi 2030 kerajaan Sarawak untuk melonjak dan merangsang pertumbuhan dan pembangunan sosioekonomi, kami teruja dengan potensi pertumbuhan masa depan di rantau ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan terus mengembangkan bilangan pusat pembelajaran itu di Sarawak bagi menyediakan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan peluang pekerjaan masa hadapan.
 

  • oleh
  • Advertisement