Anda di sini

Dagangan secara berhati-hati dijangka berterusan di Bursa Malaysia minggu depan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangkakan mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan dengan tumpuan pelabur kepada data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang dijadual dikeluarkan pada 14 Mac.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata buat masa ini, risiko condong ke arah kadar faedah lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Hala tuju Bursa Malaysia akan bergantung pada data makro AS akan datang iaitu Indeks Harga Pengguna (IHP) dan senarai pembayaran gaji bukan ladang (NFP) yang akan menentukan sama ada Fed akan kekal dengan kadar kenaikan 25 mata asas atau sebaliknya menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang dijadualkan pada 21 hingga 22 Mac,” katanya kepada Bernama.

Beliau menjangkakan FBM KLCI berada pada paras 1,425 hingga 1,450 minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata walaupun dengan ketidaktentuan global, mungkin terdapat peluang pembelian semasa harga murah memandangkan indeks penanda aras menghampiri kedudukan terlebih jual.

Bursa Malaysia mengalami dagangan yang tidak menentu secara ketara sepanjang minggu ini berikutan sentimen lemah dari Wall Street serta bursa serantau walaupun keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus bagi kali kedua berturut-turut.

Bursa tempatan berakhir pada paras terendah harian pada Jumaat.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 20.47 mata untuk ditutup pada 1,433.08 daripada 1,453.55 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 138.42 mata kepada 10,450.01; Indeks FBMT 100 merosot 138.27 mata kepada 10,131.49 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 141.07 mata kepada 10,672.97.

Indeks FBM 70 kurang 153.72 mata kepada 13,292.89 dan Indeks FBM ACE menguncup 98.94 mata kepada 5,327.79.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 198.75 mata kepada 15,964.98; Indeks Perladangan menambah 68.23 mata kepada 6,762.77 dan Indeks Tenaga kurang 14.48 mata kepada 857.25.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 4.72 mata kepada 172.93.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 14.02 bilion unit bernilai RM9.72 bilion daripada 16.79 bilion unit bernilai RM10.89 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 9.24 bilion saham bernilai RM8.16 bilion daripada 10.35 bilion saham bernilai RM9.02 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 1.76 bilion unit bernilai RM303.70 juta berbanding 1.90 bilion unit bernilai RM297.03 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada tiga bilion saham bernilai RM1.24 bilion daripada 4.16 bilion saham bernilai RM1.56 bilion. - BERNAMA
 

Advertisement