Anda di sini

Amalkan integriti, harga berpatutan ketika berniaga

Advertisement
 Abdullah menyampaikan cenderamata kepada Shahelmey (empat kiri).
TERIMA KASIH: Abdullah menyampaikan cenderamata kepada Shahelmey (empat kiri).

KOTA KINABALU: Menjelang ramadan ini, para peniaga bazar diingatkan agar mengamalkan integriti dan menjual dengan harga berpatutan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya berkata, aspek kebersihan serta kualiti juadah yang dijual juga perlu dipastikan demi kesejahteraan para pembeli.

"Para peniaga seharusnya berniaga secara berhemah iaitu menjual dengan harga yang berpatutan, bersih dan penuh integriti.

"Ini kerana pada Ramadan lepas, kita menerima aduan daripada pembeli berkaitan kes juadah yang dijual telah rosak atau basi sama ada disedari atau tidak.

"Oleh itu, para peniaga bazar Ramadan perlu sentiasa peka terhadap kualiti juadah yang mereka jual," katanya.

Selain itu, Shahelmey turut menasihatkan orang ramai yang mengunjungi bazar Ramadan supaya mematuhi peraturan keselamatan di jalan raya.

"Apabila meletakkan kenderaan, letaklah dengan berhemah dan jangan pentingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kesukaran kepada pengunjung-pengunjung lain," katanya kepada media selepas merasmikan Masjid Al Mawaddah Taman Seri Gaya dekat sini, pada Jumaat.

Surau Al Mawaddah yang dibina sejak tahun 2011 itu, kini telah dinaik taraf sebagai masjid mulai tahun 2019 dengan kapasiti 400 sehingga 500 jemaah dari sekitar Taman Seri Gaya, Luyang dan  pejabat-pejabat kerajaan yang berhampiran.

Menurut beliau, masjid tersebut bukan sahaja sebagai tempat solat, mengaji dan acara keagamaan, tetapi juga dijadikan sebagai pusat pertemuan umat Islam untuk mengeratkan silaturahim menerusi aktiviti sukan, riadah serta aktivti perniagaan seperti warung dan pusat cuci kereta yang hasilnya dikembalikan semula kepada pihak masjid.

Antara yang hadir, Timbalan Mufti Negeri, Datuk Abdul Manap Lakariba, Pengerusi Masjid Al Mawaddah, Datuk Abdullah Sibil.

Advertisement