Anda di sini

Akta Tanggungjawab Fiskal beri isyarat jelas mengenai tadbir urus baik kewangan awam

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang dicadangkan akan memberi isyarat jelas kepada pasaran dan menetapkan rangka kerja tadbir urus yang baik untuk kewangan awam, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk mengawal selia cara negara membelanjakan wang melalui perundangan justeru, cadangan FRA dijangka dibentangkan di Parlimen dalam tempoh terdekat.

“Rancangan dan idea untuk FRA telah ada dan ramai yang bercakap mengenainya, semua pihak mengakui (bahawa) tadbir urus tidak seharusnya diperkatakan sahaja tetapi perlu ada rangka kerja.

“Ia adalah ciri penting bagi perkara yang perlu kita lakukan untuk memperkukuh ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada majlis penghargaan Pihak Berkepentingan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di sini, malam tadi.

Beliau berkata tumpuan kerajaan pada masa ini berasaskan tiga aspek iaitu mengukuhkan kedudukan fiskal negara, meningkatkan hasil dan menstrukturkan ekonomi.

“Masalah kita pada masa lepas pada asasnya adalah cara kita membelanjakan wang kita. Berlandaskan FRA, ia akan mengharmonikan dan (memupuk) disiplin untuk memberi panduan kepada seluruh jentera kerajaan sehingga ke peringkat bawah,” katanya.

Rafizi berkata Kementerian Kewangan bertanggungjawab untuk membentangkan FRA manakala kementeriannya yang menguruskan perbelanjaan pembangunan akan memberi input mengenai rang undang-undang yang dicadangkan itu.

Pada 24 Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semasa pembentangan Belanjawan 2023 yang disemak semula, mengesahkan bahawa kerajaan akan membentangkan FRA tahun ini untuk memastikan tahap ketelusan yang lebih tinggi dan pengurusan ekonomi yang lebih bertanggungjawab. - BERNAMA
 

Advertisement