Anda di sini

PeladangNita terus perkasa kemahiran usahawan, ahli dalam teknologi digital

Advertisement
Umang (depan, tengah) bersama penceramah serta peserta merakamkan kenangan selepas Majlis Penyampaian Sijil Bengkel Transformasi Minda ke Arah Pendigitalan Keusahawanan di Kuching, hari ini.
Umang (depan, tengah) bersama penceramah serta peserta merakamkan kenangan selepas Majlis Penyampaian Sijil Bengkel Transformasi Minda ke Arah Pendigitalan Keusahawanan di Kuching, hari ini.

KUCHING: PeladangNita Negeri Sarawak akan terus memperkasakan kemahiran usahawan dan ahlinya dalam teknologi digital terutama dari aspek promosi dan pemasaran produk mereka.

Pengerusinya Umang Nangku Jabu berkata, kemahiran atau pengetahuan digital amat penting kepada ahli atau usahawan mereka bukan sahaja dari segi pemasaran tetapi cara perniagaan mereka yang kini menggunakan transaksi tanpa tunai.

"Ini bukan kali pertama penganjuran bengkel berkaitan teknologi tetapi kali ini ia berbeza. Hari ini kami bercakap mengenai pembungkusan, pelabelan dan juga platform digital seterusnya transformasi minda.

"Pada hari ini daripada pemerhatian kita, kebanyakan mereka (peserta) mereka amat mahir menggunakan platform digital sama ada media sosial yang asas seperti Facebook, Instagram atau sebagainya.

"Malahan ada dalam kalangan mereka sudah mengadaptasikan pembayaran tanpa tunai seperti DuitNow dan SarawakPay untuk pembayaran jualan mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Bengkel Transformasi Minda ke Arah Pendigitalan Keusahawanan untuk PeladangNita Zon Selatan dan Timur di sini, hari ini.

Bengkel tiga hari terbabit yang berakhir hari ini disertai 54 peserta dari 12 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) daripada 28 PPK seluruh negeri.

Mengulas lanjut Umang berkata, sehingga kini PeladangNita mempunyai lebih 60,000 ahli seluruh negeri dengan 10 hingga 20 peratus daripada mereka aktif dalam keusahawanan.

"Lebih daripada 10 usahawan ini telah berjaya membawa produk mereka ke pasar raya yang kebanyakan adalah berkaitan kraf, makanan dan ekopelancongan.

"Bukan itu sahaja, malah terdapat produk seperti pes pansuh, kacangma, Coklat Borco dan sebagainya iaitu produk dari usahawan PeladanNita kita akan dibawa ke Singapura pada 24 hingga 28 April di bawah STATOS," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Umang berkata bengkel itu juga bertujuan untuk membantu memasarkan produk selain meningkatkan pendapatan peserta atau ahli PeladangNita.

"Kita berharap PeladangNita akan terus menerima peruntukan yang sama agar kita dapat menganjurkan program paling kurang sekali setahun," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement