Anda di sini

PBB percaya video pembunuhan tentera Ukraine ‘mungkin sahih’

Advertisement
Gambar pegun daripada video yang diserahkan perkhidmatan media Presiden Ukraine pada Selasa menunjukkan seorang tentera Ukraine yang ditahan sedang berdiri di dalam sebuah parit cetek sebelum ditembak mati dengan pelbagai senjata automatik. — Gambar AFP
Gambar pegun daripada video yang diserahkan perkhidmatan media Presiden Ukraine pada Selasa menunjukkan seorang tentera Ukraine yang ditahan sedang berdiri di dalam sebuah parit cetek sebelum ditembak mati dengan pelbagai senjata automatik. — Gambar AFP

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin percaya bahawa video tular yang menunjukkan hukuman bunuh seorang askar Ukraine yang ditangkap oleh tentera Rusia “mungkin sahih”.

Rakaman itu menunjukkan seorang pejuang Ukraine yang ditahan sedang berdiri di dalam sebuah parit cetek sebelum ditembak mati dengan pelbagai senjata automatik selepas berkata “Kemuliaan kepada Ukraine”.

“Kami sedia maklum akan video yang dimuat naik di media sosial yang menunjukkan seorang askar hors de combat Ukraine (bukan dalam pertempuran) nampaknya dibunuh oleh angkatan tentera Rusia. Berdasarkan pemeriksaan awal, kami percaya bahawa video itu mungkin sahih,” kata jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB kepada AFP.

“Sejak serangan bersenjata Rusia ke atas Ukraine lebih setahun lalu, Pejabat Hak Asasi Manusia PBB telah mendokumentasikan banyak pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa ke atas tawanan perang, termasuk kes hukuman bunuh kedua-dua POW Rusia dan Ukraine,” katanya.

“Siasatan yang adil dan berkesan harus dijalankan ke atas semua tuduhan ini dan pelaku harus dipertanggungjawabkan.”

Ukraine telah berikrar untuk membalas dendam atas pembunuhan itu, yang tidak dapat disahkan oleh AFP.

Pihak berkuasa di Kyiv telah mempersalahkan tentera Rusia dan meminta Mahkamah Jenayah Antarabangsa melakukan siasatan.

Ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk menjelaskan bahawa skala kemusnahan akibat perang Rusia di Ukraine akan menjejaskan hak asasi generasi akan datang.

Turk menyifatkannya sebagai “pengkhianatan” ke atas janji-janji yang dibuat apabila hak asasi manusia sejagat dibentangkan selepas Perang Dunia Kedua.

“Perang di Ukraine telah melibatkan korban awam dan kemusnahan pada skala yang mengejutkan,” kata Turk dalam ucapan utamanya semasa Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang sedang berlangsung di Geneva.

“Hak rakyat Ukraine bakal musnah sepanjang generasi-generasi akan datang.”

Turk dijadualkan bercakap lebih lanjut mengenai perang di Ukraine pada 31 Mac. — AFP 
 

Advertisement