Anda di sini

NMSC lancar perkhidmatan terapi robotik 

Advertisement
Hafez (tiga kiri) dan Dr Tan (dua kiri) melihat salah seorang pesakit yang sedang menjalani rawatan terapi robotik di NMSC. Turut kelihatan, Pengarah PERKESO Sarawak Tan Phang Chia (kiri).
Hafez (tiga kiri) dan Dr Tan (dua kiri) melihat salah seorang pesakit yang sedang menjalani rawatan terapi robotik di NMSC. Turut kelihatan, Pengarah PERKESO Sarawak Tan Phang Chia (kiri).

KUCHING: Pusat Perubatan Pakar Normah (NMSC) hari ini melancarkan perkhidmatan terapi robotik pertama di Malaysia Timur dengan kolaboratif Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Datuk Dr Hafez Hussain dan turut dihadiri Presiden Eksekutif Perubatan NMSC Dr Tan Sian Kong dan Ketua Pegawai Operasi NMSC Vesmawati Jaafar. 

Menurut Hafez, ia adalah salah satu inisiatif paling utama dalam perancangan strategik PERKESO di mana hasrat PERKESO adalah untuk memberikan rawatan pemulihan yang komprehensif dan terbaik kepada pesakit yang merupakan pencarum PERKESO. 

"Kerjasama dengan Pusat Perubatan Pakar Normah adalah salah satu contoh komitmen untuk memperluaskan perkhidmatan di mana kita melihat terdapat banyak keperluan bagi  pesakit yang mungkin akibat bencana di tempat kerja atau mereka yang punyai komplikasi akibat penyakit kronik. 

Hafez (kanan) melihat salah seorang pesakit yang menjalani rawatan terapi robotik di NMSC. Turut kelihatan, Dr Tan (dua kanan).
Hafez (kanan) melihat salah seorang pesakit yang menjalani rawatan terapi robotik di NMSC. Turut kelihatan, Dr Tan (dua kanan).

"Mereka ini memerlukan rawatan yang seawal mungkin dan daripada itu, kita melihat Sarawak perlukan hospital daripada kerajaan atau swasta untuk kita bekerjasama memberi peluang kepada pesakit atau mereka yang perlukan rawatan secepat mungkin dan selamat," ujarnya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan terapi robotik itu. 

Mengulas lebih lanjut, Hafez berkata ia merupakan rawatan pemulihan menggunakan teknologi terkini daripada Jepun dan NMSC merupakan yang pertama di Malaysia Timur memiliki teknologi tersebut untuk keperluan pesakit. 

Terapi robotik itu katanya, mula diperkenalkan pada September 2022 di NMSC dan sejak itu seramai 40 pesakit yang merupakan pencarum PERKESO dari Sarawak telah menjalani rawatan pemulihan. 

Daripada jumlah itu katanya, seramai 18 pesakit mendapat hasil daripada rawatan terbabit di mana ada antara mereka yang telah berjaya kembali bekerja dan ada yang berjaya memulihkan kebolehfungsian diri mereka masing-masing. 

Selain itu katanya, kejayaan rawatan pemulihan menggunakan terapi robotik ini juga dapat mempercepatkan tempoh rawatan pesakit dan secara tidak langsung mengurangkan beban kos kesihatan yang ditanggung pesakit. 

Ujar Hafez lagi, kos bagi rawatan pemulihan terapi robotik ini adalah ditanggung oleh PERKESO bagi pesakit yang layak selepas penilaian kes oleh PERKESO. 

Bagi mereka yang bukan pencarum, mereka juga masih boleh mendapatkan rawatan pemulihan menggunakan terapi robotik itu di NMSC dengan kos ditanggung sendiri.

Sementara itu, sebanyak lima unit Cyberdyne Hybrid Assistive Limbs (HALs) terdiri daripada dua unit HAL Lower Limbs, dua unit HAL Single Joint dan satu unit Lumbar ditempatkan di NMSS untuk merawat pencarum PERKESO. 

HAL Lower Limbs merupakan robot suit untuk membantu individu yang lumpuh memperolehi semula keupayaan berjalan, manakala HAL Single Joint digunakan untuk menguatkan otot kaki dan tangan.

HAL Lumber pula digunakan untuk menguatkan otot tulang belakang dan meningkatkan keupayaan untuk melakukan aktiviti-aktiviti jenis industri seperti mengangkat bebanan. 

Dr Tan dalam pada itu berkata, terapi robotik tersebut lebih cepat berbanding kaedah konvensional yang menggunakan teknologi dari Jepun dengan menggabungkan manusia, robot dan maklumat dalam satu sistem. 

Katanya, sejak diperkenalkan pada September tahun lepas, ia telah berjaya merawat pelbagai jenis pesakit dengan kecederaan saraf tunjang, strok, kes selepas pembedahan dan sebagainya. 

Ahli-ahli terapi NMSC katanya, menjalani latihan khas untuk layak mengendalikan robotik berkenaan dan memastikan keselamatan pesakit. 
 

  • oleh
  • Advertisement