Anda di sini

Jelitawan Sarawak dinobat 'Mrs Global Asian' edisi pertama

Advertisement
Kimi yang dinobatkan ‘Mrs Global Asian 2023’ yang berlangsung di Melaka, baru-baru ini.
Kimi yang dinobatkan ‘Mrs Global Asian 2023’ yang berlangsung di Melaka, baru-baru ini.

MIRI: Diberi peluang berada di atas pentas bersama wakil dari seluruh dunia membuatkan Kimi Tomas, 35, bersemangat untuk meneruskan impiannya sehingga dinobatkan ‘Mrs Global Asian 2023’ yang berlangsung di Melaka, baru-baru ini.

Selain gelaran itu, beliau turut memenangi ‘Best National Costume’ dan tiga tempat teratas untuk kategori ‘Darling of the Crowd’.

“Pertandingan edisi pertama ini disertai 22 delegasi dari sembilan negara sudah pasti membuatkan saya teruja, apatah lagi mewakili Sarawak, sekali gus wakil dari Borneo.

“Ini juga merupakan satu pencapaian terbesar dalam hidup dan sudahpasti juga saya amat berterima kasih kepada sokongan yang tidak pernah putus dari keluarga, sahabat handai serta mereka yang dari mula hingga akhir memberikan kata-kata semangat untuk saya menyertai pertandingan tersebut,” katanya.

Kimi
Kimi

Beliau yang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur turut berterima kasih kepada Tiara Management & Leading Management yang diasaskan Leo Raynold yang juga dari Sarawak dan Nickson Sim kerana memberi peluang beliau untuk menyerlah dalam pertandingan berkenaan.

Malah, beliau berasa bertuah turut memperagakan gaun malam dan kostum tradisional yang direka khas pereka Sarawak Gilbert Headhunter.

Menerusi pencapaiannya itu, Kimi mahu semangat yang ada padanya menjadi contoh kepada golongan wanita untuk terus bersemangat dalam menggenggam kejayaan.

Malah, kejayaan yang dicapainya itu turut membanggakan dirinya bukan sahaja sebagai seorang wanita yang mempunyai kerjaya serta berumahtangga, tetapi sebagai rakyat Sarawak dan lebih-lebih lagi mewakili masyarakat Dayak di mata dunia. 

Jelas Kimi, pertandingan berprestij dunia itu memberi peluang kepada kaum wanita untuk menyerlah diri, bukan sahaja memperagakan peranan wanita, tetapi menjadi landasan untuk mewakili wanita di dunia menyuarakan pendapat dan kesedaran yang diperjuangkan.

Kimi berbangga mewakili Borneo, sekali gus membawa gelaran ‘Ratu Borneo’.
Kimi berbangga mewakili Borneo, sekali gus membawa gelaran ‘Ratu Borneo’.

“Sekiranya anda (wanita) diberi peluang dalam apa jua bidang atau pertandingan, lakukan terbaik semampu yang anda boleh, saya yakin kejayaan itu akan menjadi milik anda.

“Jangan pernah putus asa, rezeki kita memang berbeza namun pencapaian kita pastinya indah dan membuahkan hasil bila kita bersungguh-sungguh,” tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement