Anda di sini

Cubaan merompak AS$32.5 juta di lapangan terbang Chile gagal

Advertisement

Seorang pekerja penerbangan dan perompak mati ditembak

Pegawai penyiasat polis memeriksa kenderaan yang dibakar oleh perompak yang melarikan diri selepas gagal merompak AS$32.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez di Santiago, Chile kelmarin. — Gambar AFP
Pegawai penyiasat polis memeriksa kenderaan yang dibakar oleh perompak yang melarikan diri selepas gagal merompak AS$32.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez di Santiago, Chile kelmarin. — Gambar AFP

SANTIAGO: Seorang pekerja penerbangan dan perompak maut dalam insiden berbalas tembakan kelmarin apabila cubaan merompak gagal di lapangan terbang antarabangsa di Santiago, Chile, kata pihak berkuasa.

Sekumpulan perompak bersenjata menyerang ketika pekerja sedang memindahkan wang tunai berjumlah AS$32.5 juta ke dalam sebuah trak berperisai di Lapangan Terbang Antarabangsa Arturo Merino Benitez.

“Sebuah kargo mewah tiba dari Miami dengan pesawat LATAM yang akan dibawa oleh syarikat Brinks (keselamatan), dan ketika itu penceroboh masuk ke kawasan dan dihalang oleh pegawai keselamatan,” kata pendakwa raya Eduardo Baeza, yang bertanggungjawab ke atas siasatan itu.

Perompak memasuki lapangan terbang pada awal pagi dengan tiga kenderaan, melanggar pintu pagar dan menuju ke kawasan kargo.

Tembak-menembak berlaku dengan pegawai keselamatan dan meragut nyawa salah seorang penceroboh dan seorang pekerja penerbangan bernama Claudio Villar Rodriguez, 45.

Digagalkan, perompak yang lain melarikan diri dan membakar dua kenderaan mereka di lebuh raya berhampiran.

Pemburuan sedang dijalankan.

Presiden Gabriel Boric berikrar bahawa penjenayah terbabit akan dibawa ke muka pengadilan.

“Kita akan kejar mereka yang membahayakan nyawa rakan senegara kita,” katanya semasa majlis di istana presiden.

Presiden itu menegaskan bahawa pihak polis “mendapat sokongan penuh kami untuk membanteras kejahatan yang dahsyat ini.”

Lapangan terbang itu pernah menjadi sasaran sebelum ini. 

Pada 2020, perompak bersenjata berat merampas AS$15 juta daripada sebuah trak berperisai di lapangan terbang Santiago dan pada 2014 kumpulan lain melarikan diri dengan lebih AS$10 juta. — AFP 
 

Advertisement