Anda di sini

53,000 sertai protes susulan tragedi kereta api di Greece

Advertisement
Penunjuk perasaan berarak ke jalanan di seluruh Greece kelmarin, meluahkan kemarahan berhubung tragedi kereta api terburuk di negara itu pada 28 Februari dan menggesa perdana menteri meletak jawatan. — Gambar AFP
Penunjuk perasaan berarak ke jalanan di seluruh Greece kelmarin, meluahkan kemarahan berhubung tragedi kereta api terburuk di negara itu pada 28 Februari dan menggesa perdana menteri meletak jawatan. — Gambar AFP

ATHENS: Lebih 50,000 penunjuk perasaan berarak ke jalanan di seluruh Greece dan pekerja juga mengadakan mogok besar-besaran kelmarin, meluahkan kemarahan berhubung tragedi kereta api terburuk di negara itu dan menggesa perdana menteri meletak jawatan.

Sekurang-kurangnya 57 orang terbunuh, dan 14 yang lain masih dirawat di hospital selepas sebuah kereta api kargo bertembung dengan kereta api penumpang, yang membawa ramai pelajar, pada 28 Februari.

Penunjuk perasaan di Athens menjulang papan tanda “ia bukan kemalangan, ia satu jenayah” dan “mungkin kita berada di dalam kereta api itu”.

Menjelang awal petang, polis berkata sehingga 53,000 penunjuk perasaan telah turun ke jalan-jalan di seluruh negara untuk menunjuk perasaan terhadap kemalangan itu.

“Saya berada di sini untuk memberi penghormatan kepada mangsa yang terkorban tetapi juga untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan saya,” kata penunjuk perasaan Athens Niki Siouta, seorang jurutera awam berusia 54 tahun.

Terdapat kira-kira 30,000 penunjuk perasaan di Athens, 15,000 di bandar kedua Greece, Thessaloniki dan 10,000 di bandar pelabuhan barat Patras, menurut jurucakap polis.

Di samping penunjuk perasaan, penjawat awam Greece mengadakan mogok 24 jam, disertai oleh doktor, guru, pemandu bas dan anak kapal feri juga mogok.

Operasi kereta api lumpuh apabila pekerja melanjutkan mogok yang dilancarkan selepas kemalangan itu.

Minggu lalu, protes yang dicetuskan oleh nahas itu menyaksikan polis rusuhan bertempur dengan penunjuk perasaan. 

Kementerian ketenteraman awam berkata perbincangan telah diadakan dengan penganjur protes untuk mengelakkan keganasan.

Gesaan semakin kuat agar Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis meletak jawatan selepas tragedi itu, yang mencerminkan salah urus kerajaan dalam rangkaian kereta api itu, yang telah berpanjangan selama beberapa dekad.

Seorang penyelia stesen, yang mengaku lupa untuk mengubah haluan salah satu kereta api, telah ditangkap dan didakwa, tetapi kerajaan dikritik kerana berusaha untuk menuding kesalahan itu kepada dia sahaja.

Menteri Pengangkutan Greece meletak jawatan pada 1 Mac dan Mitsotakis memohon maaf kepada keluarga mangsa, berjanji untuk mencari ke akar umbi punca kemalangan itu dalam usaha untuk meredakan kemarahan orang ramai. — AFP 
 

Advertisement