Anda di sini

Pengebom nekad bunuh sembilan polis Pakistan 

Advertisement

Trak polis diserang di Balochistan, 16 lagi cedera

Ketua Menteri Balochistan Mir Abdul Qudoos Bizenjo (dua kiri) berbual dengan anggota polis yang menerima rawatan di hospital di Quetta selepas tercedera dalam serangan bom nekad di daerah Kachhi kelmarin. — Gambar AFP
Ketua Menteri Balochistan Mir Abdul Qudoos Bizenjo (dua kiri) berbual dengan anggota polis yang menerima rawatan di hospital di Quetta selepas tercedera dalam serangan bom nekad di daerah Kachhi kelmarin. — Gambar AFP

QUETTA: Seorang pengebom nekad membunuh sembilan anggota polis dan mencederakan 16 yang lain dalam serangan ke atas trak polis di barat daya Pakistan kelmarin, kata pihak berkuasa.

Pasukan keselamatan telah selama beberapa tahun berdepan dengan keganasan oleh militan di Balochistan yang menuntut bahagian lebih besar daripada kekayaan wilayah itu, termasuk serangan oleh Taliban Pakistan (TTP).

“Pengebom nekad itu menunggang sebuah motosikal dan melanggar trak dari belakang,” pegawai kanan polis Abdul Hai Aamir memberitahu AFP.

Insiden tersebut berlaku berhampiran Dhadar, pekan utama di daerah Kachhi, kira-kira 120 kilometer (75 batu) tenggara Quetta di Balochistan.

Beberapa gambar susulan kejadian menunjukkan trak polis terbalik di atas jalan raya dengan cerminnya pecah.

Mehmood Notezai, ketua polis daerah Kachhi, memberitahu AFP bahawa pasukan polis tersebut dalam perjalanan pulang selepas menyediakan perkhidmatan keselamatan pada pertunjukan lembu selama seminggu. 

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

“Keganasan di Balochistan merupakan sebahagian daripada agenda jahat bertujuan untuk menggugat kestabilan negara,” kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya.

Pakistan sedang berdepan dengan pertindihan krisis politik, ekonomi dan alam sekitar, termasuk situasi keselamatan yang bertambah buruk.

Serangan meningkat di Pakistan sejak Taliban Afghanistan mengambil alih kawalan ke atas Kabul pada Ogos 2021, memberi semangat kepada kumpulan militan di sepanjang sempadan yang semakin kerap menyasarkan pasukan keselamatan.

Pada bulan lepas lima orang maut apabila skuad nekad TTP menyerbu balai polis di bandar pelabuhan Karachi.

Ia berlaku hanya beberapa minggu selepas letupan bom di sebuah masjid di bandar barat laut Peshawar yang mengorbankan lebih  80 anggota polis. Serangan itu diakui oleh kumpulan yang kadang kala bersekutu dengan TTP.

“Meskipun berbeza ideologi, etnik dan pandangan politik, kumpulan militan adalah kesemuanya francais yang terikat pada satu objektif: menyerang pasukan keselamatan dan menimbulkan rasa ketakutan serta ketidakpastian di Pakistan,” kata Imtiaz Gul, penganalisis di Pusat bagi Penyelidikan dan Kajian Keselamatan di Islamabad.

Balochistan, yang bersempadan dengan kedua-dua Afghanistan dan Iran, mempunyai sumber semula jadi yang banyak, namun penduduk tempatan mendakwa mereka tidak menerima bahagian yang adil daripada kekayaan tersebut.

Ketegangan bertambah dengan kebanjiran pelaburan dari China di bawah ‘Belt and Road Initiative’, yang menurut penduduk tempatan tidak sampai kepada mereka.

China melabur di kawasan tersebut di bawah projek bernilai AS$54 bilion dikenali sebagai Koridor Ekonomi  China-Pakistan, menaiktaraf infrastruktur, tenaga dan hubungan pengangkutan di antara wilayah barat jauh Xinjiang dan pelabuhan Gwadar di Pakistan. — AFP

Advertisement