Anda di sini

Ketua pembangkang Belarus dipenjara 15 tahun

Advertisement
 Tikhanovskaya berucap ketika menerima hadiah hak asasi kemanusiaan Sakharov di Parlimen Eropah di Brussels pada 16 Disember, 2020. — Gambar AFP
Tikhanovskaya berucap ketika menerima hadiah hak asasi kemanusiaan Sakharov di Parlimen Eropah di Brussels pada 16 Disember, 2020. — Gambar AFP

MOSCOW: Belarus kelmarin menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap ketua pembangkang dalam buangan Svetlana Tikhanovskaya kerana mengetuai protes bersejarah terhadap pemimpin negara bekas Soviet ini, lapor agensi berita rasmi Belta.

Tikhanovskaya, yang melarikan diri ke negara jiran anggota Kesatuan Eropah (EU) Lithuania ekoran protes terhadap pilihan raya presiden yang dipertikaikan pada 2020, telah dijatuhkan hukuman tanpa kehadirannya atas tuduhan pengkhianatan dan “konspirasi untuk merampas kuasa”.

Dia dijatuhkan hukuman bersama Pavel Latushko, bekas diplomat Belarus dan menteri kebudayaan yang bertukar menjadi ketua pembangkang. Latushko telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun, juga tanpa kehadirannya.

Dakwaan berpunca daripada tunjuk perasaan besar-besaran terhadap pemimpin Belarus Alexander Lukashenko yang mendakwa telah memenangi jawatan presiden untuk penggal keenam.

Lukashenko, yang memegang kuasa selama hampir tiga dekad, merupakan sekutu utama presiden Rusia Vladimir Putin.

Belarus pada Jumaat lepas turut menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas aktivis hak asasi yang memenangi Anugerah Nobel, Ales Bialiatski. — AFP 
 

Advertisement