Anda di sini

Buruh kasar dari Sambas tidak mengaku salah rogol gadis bawah umur hingga mengandung

Advertisement
Tertuduh (kiri) diiringi polis keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding kes hari ini.
Tertuduh (kiri) diiringi polis keluar dari kamar mahkamah selepas selesai prosiding kes hari ini.

KUCHING: Seorang buruh kasar dari Sambas, Indonesia mengaku tidak bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, sehingga mangsa mengandung dua bulan.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh berusia 26 tahun berkenaan sebaik pertuduhan di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Maris Agan memerintahkan pengurusan kes pada 8 Jun 2023 dan mengarahkan tertuduh direman lanjut di Penjara Puncak Borneo sementara menunggu tarikh tersebut.

Maris menetapkan demikian setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Ruvinasini Pandian yang memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan memerlukan masa untuk menyediakan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara November dan Disember 2022 di sebuah rumah di Telaga Air, Matang di sini.

Difahamkan, laporan polis dibuat oleh seorang doktor yang mendapati mangsa bawah umur mengandung dua bulan. 

Susulan itu, tertuduh ditangkap pihak polis pada 22 Februari 2023, sekitar jam 11.50 pagi di sebuah stesen minyak di Jalan Matang, di sini.

Hasil siasatan mendapati semasa tangkapan dibuat, tertuduh sebagai warganegara Indonesia telah tinggal di negara ini tanpa kebenaran sah selepas tamat tempoh lawatan pas sosialnya pada 7 Disember 2019. 

Oleh itu, tertuduh turut didakwa di mahkamah sama di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.  

Tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu dan Maris menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Semasa rayuan bagi kes imigresen tersebut, tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa dia yang bekerja di tapak pembinaan dan memperoleh RM60 sehari, tidak mempunyai duit untuk memperbaharui pas sosialnya.

Justeru, tertuduh memohon agar tidak dijatuhi hukuman berat.

Dalam pada itu, tertuduh semasa rayuan juga memaklumkan mahkamah bahawa dia telah berkahwin dengan mangsa (bagi kes rogol) yang berusia 13 tahun itu pada Disember 2022.

DPP Ruvinasini bagaimanapun memohon tertuduh dijatuhi hukuman berat dan menegaskan bahawa kesalahan imigresen kini kian meningkat, selain boleh dijadikan pengajaran kepada orang luar yang hendak memasuki Malaysia agar mereka menghormati Akta Imigresen negara.

Bagi kes rogol pula, DPP Ruvinasini memohon tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh kerana ia merupakan kesalahan yang tidak boleh diikat jamin, selain terdapat kemungkinan besar tertuduh akan melarikan diri.

Susulan itu juga, DPP Ruvinasini memohon pasport tertuduh diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Advertisement