Anda di sini

Polis Pakistan buru bekas perdana menteri Imran Khan

Advertisement
Para penyokong Imran Khan berkumpul mengelilingi van polis di luar rumah bekas perdana menteri Pakistan itu di Lahore, kelmarin.  — Gambar AFP
Para penyokong Imran Khan berkumpul mengelilingi van polis di luar rumah bekas perdana menteri Pakistan itu di Lahore, kelmarin.  — Gambar AFP


LAHORE: Polis di Pakistan menyatakan pihak berkuasa kelmarin cuba menahan bekas perdana menteri Imran Khan, yang berdepan dengan beberapa kes undang-undang  ketika dia mendesak kerajaan melaksanakan pilihan raya awal.

Pihak berkuasa dari ibu negara, Islamabad, tiba di kediaman Khan di Lahore, yang telah dikepung oleh beratus-ratus penyokongnya, namun tidak dapat menemui dia.

“Satu pasukan polis Islamabad telah tiba di Lahore untuk menahan Imran Khan bagi melaksanakan arahan mahkamah,” menurut polis Islamabad dalam satu ciapan.

“Imran Khan enggan menyerah diri – Pesuruhjaya Tinggi Polis telah masuk ke dalam sebuah bilik namun Imran Khan tiada di sana.”

Waran tangkap dikeluarkan selepas Khan gagal hadir di mahkamah bagi satu kes rasuah pada 28 Februari.

Khan dituduh gagal mengisytiharkan hadiah yang diterima ketika dia memegang jawatannya, atau keuntungan yang dihasilkan daripada menjualnya.

Pegawai kerajaan harus mengumumkan semua hadiah namun dibenarkan  untuk menyimpan hadiah yang berada di bawah satu nilai tertentu.

Timbalan pengerusi bagi parti Pakistan Tehreek-e-Insaf pimpinan Khan, Shah Mehmood Qureshi, memberitahu wartawan di Lahore: “Kami telah menerima notis daripada polis Islamabad – notis itu tidak mengandungi sebarang arahan bagi penahanan.”

“Kami akan berbincang dengan peguam kami dan mengikuti proses perundangan”.

Mahkamah di Pakistan sering digunakan untuk mengaitkan anggota perundangan dalam prosiding yang membosankan dan berpanjangan di mana pihak pemerhati hak asasi mengkritik ia “melemaskan” bantahan politik.

Khan, yang ditembak ketika satu rali pada tahun lepas, cuba mengganggu politik di negara Asia Selatan itu sejak dia dipaksa melepaskan jawatannya dalam satu undian tidak percaya pada April.

Dia mendesak pilihan raya awal diadakan tidak lewat daripada Oktober dengan mengadakan protes, menarik diri daripada parlimen dan merombak dua dewan wilayah yang dikawal oleh partinya dalam usaha untuk memaksa kerajaan bertindak.

Negara yang mempunyai lebih 220 juta penduduk ini kini berdepan ketegangan ekonomi dengan inflasi yang berterusan, kekurangan simpanan pasaran wang asing dan menangguhkan rundingan bantuan kewangan dengan pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Untuk menarik keluar negara ini daripada lingkaran inflasi berterusan, Perdana Menteri Shehbaz Sharif sedang berusaha menghidupkan bahagian kewangan seterusnya daripada satu pinjaman berjumlah $6.5 bilion yang dirangka bersama dengan IMF pada 2019. — AFP

Advertisement