Anda di sini

Polis selamatkan 64 mangsa pemerdagangan warga Mexico

Advertisement
 

OTTAWA: Pihak berkuasa Kanada kelmarin mengesahkan bahawa mereka telah menyelamatkan 64 warga Mexico yang menjadi mangsa pemerdagangan untuk bekerja di ladang, kilang dan gudang di dalam dan sekitar Toronto.

Polis turut menahan lima orang dalam kes itu dan mengeluarkan waran untuk dua lagi suspek yang masih bebas. Mereka menghadapi lebih daripada 40 pertuduhan, termasuk pengelibatan dalam kumpulan jenayah dan pemerdagangan manusia.

Maklumat pada November 2022 daripada seorang pekerja asing Mexico tentang kehidupan dan keadaan kerjanya yang daif menyebabkan pihak polis dan Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada melancarkan siasatan.

Menurut penemuan mereka selepas menyerbu lima lokasi baru-baru ini, detektif Polis Wilayah York, Gary McBride memberitahu sidang akhbar, pekerja asing "hidup dalam keadaan yang menyayat hati."

Ini termasuk hidup berpadat, katanya, "dengan berpuluh-puluh orang tidur di atas tilam di atas lantai, kekurangan makanan, kekurangan privasi dan diserang pepijat."

Mangsa, lelaki dan wanita berusia 20-an hingga 40-an, tambahnya, turut meluahkan "paksaan dan kawalan, termasuk pengasingan, kekurangan kebebasan, terikat secara kewangan, ancaman dan serangan seksual."

Setiap hari, mereka dibawa ke tapak kerja dengan menaiki tiga bas usang dan terpaksa bekerja berjam-jam dengan gaji yang sedikit sementara pengeksploitasi mereka mendapat faedah daripada hasil kerja mereka, katanya.

Semuanya telah diberi janji palsu tentang keadaan kerja dan kehidupan yang indah dengan gaji yang sangat baik di Kanada.

Menurut jabatan keselamatan awam Kanada, terdapat lebih 3,500 kes pemerdagangan manusia dilaporkan kepada polis dalam dekad ini sejak 2011. Hampir kesemua mangsa merupakan wanita dan kanak-kanak perempuan.

Pada 2019, polis menyelamatkan 43 warga Mexico, kebanyakannya lelaki, mangsa kepada penipuan imigresen dan dipaksa bekerja tanpa bayaran di hotel-hotel Kanada serta tinggal dalam keadaan yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai "keadaan setinggan." – AFP 
 

Advertisement