Anda di sini

Dana Mudahcara manfaatkan penggiat industri seni, budaya dan warisan di Sarawak

Advertisement
Abdul Karim tiba di Lobi La Promenade Mall sambil melihat kraf tangan di kawasan pameran sebelum sesi dialog awam dilaksanakan. - Gambar Chimon Upon
Abdul Karim tiba di Lobi La Promenade Mall sambil melihat kraf tangan di kawasan pameran sebelum sesi dialog awam dilaksanakan. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Dana Mudahcara yang disediakan oleh kerajaan Sarawak untuk pemulihan industri seni, budaya dan warisan memberi banyak manfaat kepada penggiat industri di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia antara inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi membantu membangunkan industri tersebut.

"Mereka (pemain industri) memerlukan dana ini untuk membangun sekali gus dapat melihat mereka bergerak jauh ke hadapan.

"Tahun lalu sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi dana berkenaan dan saya percaya dana ini bukan sahaja disediakan untuk tahun 2022, malah perlu dilanjutkan pada 2023 dan 2024," ujarnya pada sidang media selepas sesi dialog awam di Bangunan Hock Seng Lee (HSL), Kota Samarahan hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datu Sherrina Hussaini serta tetamu jemputan lain.

Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata, sama ada dana itu diteruskan atau tidak, ia perlu dibincangkan dahulu bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Namun pada masa yang sama katanya, kementerian juga menyediakan sejumlah peruntukan besar untuk melaksanakan pelbagai program.

"Saya perlu duduk bersama Premier mengenai perkara ini kerana menerusi dana ini saya dapat melihat pemain industri sangat bersemangat dalam bidang masing-masing.

"Jika kita boleh membina mereka, saya fikir Sarawak boleh menjadi hebat dalam bidang seni persembahan," katanya. 

Terdahulu dalam ucapannya pada sesi dialog awam itu, Abdul Karim berkata tahun lalu, kementerian telah menyokong penganjuran 80 aktiviti berkaitan seni, budaya dan asal-usul warisan.

"Kami (kerajaan) gembira melihat banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pengamal seni mengambil inisiatif untuk memohon dan berjaya menganjurkan program dan aktiviti yang berfaedah dan bermakna.

"Sebanyak 80 aktiviti dan program yang telah disokong oleh kementerian kita dikaitkan dengan latar belakang budaya etnik yang pelbagai di negeri kita," katanya sambil menambah, jumlah geran yang diberikan ialah RM4.65 juta pada 2022.

Antara program dan aktiviti di bawah Dana Mudahcara ialah tujuh program seni visual, sembilan penerbitan buku mengenai warisan, 17 bengkel pembinaan kapasiti, 15 seminar berkaitan warisan, empat program seni sastera dan 28 seni persembahan.
 

  • oleh
  • Advertisement