Anda di sini

45 restoran di seluruh Sarawak perkenal Menu Rahmah

Advertisement
Matthew (tiga kiri) menyerahkan Sijil Penghargaan Menu Rahmah kepada Pengurus Restoran Valley Cafe Lucillinus Cicero Mambang.
Matthew (tiga kiri) menyerahkan Sijil Penghargaan Menu Rahmah kepada Pengurus Restoran Valley Cafe Lucillinus Cicero Mambang.

MIRI: Lebih banyak pengusaha restoran di Sarawak digalakkan menyertai insiatif kerajaan untuk menyediakan Menu Rahmah bagi membantu rakyat yang kurang berkemampuan. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, setakat semalam sebanyak 45 restoran di seluruh Sarawak telah memperkenalkan Menu Rahmah di premis masing-masing. 

“Setakat ini di Miri baru ada tiga restoran yang menawarkan Menu Rahmah. 

“Untuk memperkenalkan Menu Rahmah ini tidak perlu memohon kepada KPDN tetapi ini merupakan inisiatif pengusaha restoran masing-masing untuk menyediakan menu dengan harga di bawah RM5 atau RM5 yang mengandungi sumber protein, vitamin, karbohidrat dan air. 

“Pengusaha juga bebas untuk memperkenalkan menu apa yang ditawarkan pada harga tersebut, namun seboleh-bolehnya mereka memaklumkan kepada kami (KPDN) supaya kami dapat membantu mereka mempromosikan dan kita boleh beri garis panduan yang lebih sesuai,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Menu Rahmah di Valley Café, Pusat Komersial Pujut 7 di sini hari ini. 

Sementara itu, Matthew berkata antara maklum balas yang diterima daripada pengusaha yang telah menyertai Menu Rahmah ini menyatakan mereka tidak sama sekali berdepan dengan kerugian tetapi mendapat sedikit keuntungan. 

“Inisiatif ini memberi peluang kepada pengusaha berkongsi rezeki dengan orang yang kurang mampu untuk mendapatkan makanan.

“Jadi kita tidak memikirkan nak untung terlalu banyak sangat tetapi kalau ada untung sikit itu sudah memadai,” ujarnya. 

Dalam pada itu, Matthew mendedahkan di Sarawak juga terdapat lima premis yang menawarkan Menu Rahmah makanan tidak halal kepada mereka yang bukan Muslim. 

“Contohnya di Bau, kita dah ada pengusaha yang menyediakan makanan seperti mi kolok Menu Rahmah dengan kopi berharga RM5,” jelasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement