Anda di sini

Pelajar wanita diperdaya sindiket love scam hampir RM50,000

Advertisement
ZAIDI
ZAIDI

KOTA KINABALU: Seorang pelajar wanita di sebuah universiti tempatan di sini mengalami kerugian hampir RM50,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Mangsa berumur 19 tahun mengalami nasib malang itu selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi aplikasi Telegram pada 5 Februari lalu.

Menurut sumber, mangsa dan sindiket itu pada awalnya hanya berinteraksi dalam Telegram sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp sehingga menjadi kawan rapat.

“Lelaki terbabit kemudiannya meminta bantuan kewangan daripada mangsa dengan alasan untuk membeli perisian permainan atas talian.

“Mangsa yang mempercayai suspek bertindak mengirim wang secara berperingkat ke dalam lima akaun yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata mangsa bagaimanapun rasa  tertipu apabila lelaki terbabit tidak memulangkan kembali wang yang dipinjam malah berterusan  meminta wang daripadanya.

Tambahnya mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya kejadian masih dalam siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan kes penipuan scammer yang sudah banyak dihebahkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain pihak serta laporan di media arus perdana.

"Jangan mudah percaya dengan pujuk rayu daripada seseorang yang tidak pernah dikenali melalui media sosial," katanya.

  • oleh
  • Advertisement