Anda di sini

Dewi Liana Seriestha pilih Hari Kekasih untuk lancarkan lagu baharu ‘Cinta Abadi’ 

Advertisement
 Anding dan Dewi bergambar bersama dan menunjukkan ‘mini love’. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
CINTA ABADI: Anding dan Dewi bergambar bersama dan menunjukkan ‘mini love’. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Penyanyi kelahiran Kuching, Dewi Liana Seriestha memilih Hari Kekasih untuk melancarkan original soundtrack berjudul ‘Cinta Abadi’ dan sebuah filem pendek yang diilhamkan daripada Puteri Sejinjang.

Model dan bekas pemenang gelaran Miss World Talent pada tahun 2014 itu berkata, lagu tersebut ditulis dan dikarang sepenuhnya oleh beliau dengan bimbingan bapanya sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, idea mengarang lagu ini terhasil setelah beliau memainkan watak Puteri Sejinjang dalam teater muzikal berjudul ‘Putri Santubong The Warrior Princess’ pada tahun 2021.

Jelas Dewi juga, meski-pun lagu ini menyaksikan gandingan vokal beliau bersama anak jati kelahiran Kuching, Anding Indrawani, beliau berkata lagu ‘Cinta Abadi’ bukanlah merupakan lagu duet.

“Puteri Sejinjang dipilih sebagai ilham untuk projek kali ini kerana selama ini sudah terlalu banyak karya menceritakan dan memberikan fokus terhadap Puteri Santubong.

“Pembuatan lagu dan filem pendek ini mengambil masa sekitar setahun dengan pasukan kita berhadapan pelbagai cabaran. Dari segi pembikinan muzik dan video ‘production’, kita menggunakan bakat tempatan sepenuhnya.

“Terdapat elemen instrumen Bidayuh dalam muzik ini yang menerapkan elemen tradisi Bidayuh yang utama iaitu Gong. Dari segi pakaian pula, kita turut menerapkan elemen tradisi seperti penggunaan songket, keringkam dan silat Sarawak,” ujarnya semasa berucap pada majlis pelancaran lagu dan video pendek tersebut di Muzium Budaya Borneo di sini hari ini.

 Dewi (tujuh kanan), bapanya (enam kiri), Abdul Karim dan yang lain merakamkan gambar kenangan semasa Majlis Pelancaran original soundtrack berjudul ‘Cinta Abadi’ dan sebuah filem pendek yang diilhamkan daripada Puteri Sejinjang di Muzium Budaya Borneo Kuching hari ini. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
UNTUK ALBUM: Dewi (tujuh kanan), bapanya (enam kiri), Abdul Karim dan yang lain merakamkan gambar kenangan semasa Majlis Pelancaran original soundtrack berjudul ‘Cinta Abadi’ dan sebuah filem pendek yang diilhamkan daripada Puteri Sejinjang di Muzium Budaya Borneo Kuching hari ini. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Mengulas mengenai sama ada mempunyai perancangan untuk menghasilkan filem ataupun projek lain daripada sudut pandang Puteri Sejinjang, Dewi berkata, pasukan produksinya sememangnya sudah bersedia sepenuhnya sekiranya terdapat projek sedemikian dilaksanakan.

Bagaimanapun jelasnya, ia bergantung kepada pihak kerajaan iaitu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan khasnya, untuk meluluskan projek dan memberikan peruntukan. 

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa sidang media berkata, kerajaan negeri sememangnya bersedia untuk mengangkat bakat tempatan ataupun anak-anak Sarawak ke persada lebih tinggi dengan menyalurkan dana ataupun peruntukan sewajarnya. 

“Kita sentiasa berusaha untuk mengangkat anak-anak Sarawak dalam sebarang lapangan, terutama sekali dalam bidang seni mahupun seni persembahan agar mereka berjaya.

“Selain itu, kita sedia maklum penyanyi mahupun penghibur memerlukan seluruh pasukan untuk menjayakan sesuatu persembahan dengan baik maka mereka memerlukan banyak bantuan terutamanya dari segi dana. 

“Oleh itu, pihak kami memberikan jaminan bahawa anak-anak Sarawak yang berbakat dan berusaha dalam bidang ini akan mendapat bantuan sewajarnya,” ujar beliau pada sidang media selepas majlis pelancaran.

Hadir sama semasa pelancaran tersebut adalah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan I Datuk Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kii, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), Dato Peter Minos dan Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Datuk Ik Pahon Joyik.

Turut hadir memberikan sokongan semasa pelancaran adalah Anding, rakan-rakan artis tempatan seperti At Adau dan pasukan terlibat dalam teater muzikal ‘Putri Santubong The Warrior Princess’.

Advertisement