Anda di sini

Masjid

Advertisement
 


Oleh: Lokman Hakim

SATU perkara yang aku tidak bangkitkan apabila berbicara mengenai masjid itu ialah ia menghimpunkan orang yang sudah lama tiada di dunia ini. Penjelasan munasabah di sebalik senario tersebut ialah masjid merupakan tempat tumpuan masyarakat setempat. 
     Orang mati yang aku lihat itu mungkin sahaja saudara si mati yang punya rupa paras yang agak mirip. Mungkin juga aku seorang yang mudah terpengaruh hal-hal mirip ‘dejavu’ biarpun perkaitannya sangat tipis. Namun, aku percaya, memandangkan kota ini dipenuhi orang yang aku kenali dan masing-masing juga punya hubungan persaudaraan, maka pasti ada antara sanak saudara mereka yang telah mati itu singgah di masjid ini. Lantas menjelaskan mengapa ada orang yang mirip seperti insan yang aku tahu sudah tiada di dunia ini.
     Adakah ia enigma mudah yang merungkainya seringkas bertanya terus kepada mereka? Tidak semudah itu. Ia jadi rumit apabila bersalaman dengan mereka. Setiap imbas semula peristiwa kematian mereka akan bergentayangan dalam minda seperti tayangan filem. 
     Mujur sahaja, aku sekadar bersalaman dan berbasa-basi sedikit. Kadangkala aku terfikir pula seandainya aku perlu mengambil wuduk semula kerana telah bersalaman dengan orang mati. Sesungguhnya aku seorang yang buta dalil apatah lagi bab memahami hadis.
     Nah, mereka bukan ‘zombi’. Mereka masih menunaikan solat sunat rawatib dengan sempurna, berdiri di sebelahku menjadi sebahagian daripada saf ketika solat fardu berjemaah. Yang penting, imam yang mengimamkan solat kami itu masih hidup (aku memaksudkan aku tidak pernah melihat berita kematiannya di mana-mana. Orangnya juga kelihatan sihat wal afiat. Wallahualam.) Meskipun begitu, tidak banyak boleh aku ceritakan mengenai imam masjid ini. Aku juga baru-baru ini sahaja rajin bersolat lima waktu di masjid ini. Kelapangan yang aku miliki ini bermula tiga minggu yang lepas sesudah hilang pekerjaan di sebuah jabatan kerajaan. Aku tidak lulus ujian penilaian untuk mengekalkan jawatan dan begitulah akhirnya nasibku ini.
     Aku sendiri kurang pasti mengapa aku jadi rajin turun ke masjid ini. Mungkin juga aku letih mendengar leteran isteriku mengenai status pekerjaanku. Menjadikan masjid selaku eskapisme bukanlah sesuatu yang baik. Hal ini membuatkan aku rasa bersalah setiap kali tiba di rumah dan menatap wajah isteriku yang berhempas-pulas bekerja memastikan keluarga kami tetap utuh ikatannya. Dengan tidak bekerja, aku memberi imej seorang Muslim yang teruk. Tidaklah bermakna aku culas mencari pekerjaan. Resume demi resume sudah aku hantar, berkoyan-koyan sehingga e-mel aku penuh dengan notifikasi mencari pekerjaan semata-mata. Aku juga sering singgah di jabatan buruh demi meneliti iklan tawaran kerja di sana. Surat khabar yang bertahun aku abaikan wujudnya itu pun aku selak demi mencari peluang bekerja. Tiada hasil setakat ini. 
     Semestinya ketika bersolat itu, aku akan memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan pekerjaan halal supaya aku tidak menjadi Muslim yang teruk yang bergantung pada isteri semata-mata demi sesuap nasi. Cuma, apabila dileteri isteri, pernah juga aku berasa seperti mahu merompak bank atau terjun ke bawah bangunan sahaja setelah mengirimkan sepotong mesej WhatsApp untuk aku menceraikannya dengan talak tiga. Masya-Allah. Imaginasi sebegitu sangat mengerikan.
     Kesangsian dan keinginan kadangkala boleh dicantumkan menjadi sesuatu yang ngeri. Sesudah solat asar, aku berniat mahu kembali ke rumah sahaja tetapi di pintu keluar masjid, aku disapa seorang tua yang punya mata hijau di sebelah kirinya dan mata biru di sebelah kanannya.
     Sebenarnya, aku pernah punya kawan sewaktu belajar di universiti yang memiliki bebola mata sebegini. Namanya Musytari. Bahkan orang tua ini juga memperkenalkan dirinya selaku Musytari. Dia juga sering kali menceritakan hal-hal di universiti dahulu dan mengatakan betapa aku mirip sahabatnya dahulu. 
     Boleh jadi, aku memasuki masjid masa hadapan. Di mana-mana orang yang aku kenali baik yang hidup sudah pun mati sudah bercampur gaul macam sup yang dibuat ala-ala ‘asal boleh campak’. Andaian demi andaian tidak akan habis. Ia harus dijawab dengan sesuatu yang sahih. Aku fikir, ia boleh bermula dahulu dengan Musytari. Pak cik Musytari. Ah, aku kadang-kadang berada dalam dilema apabila mahu berbual dengan Musytari ini. Walau apa jua yang aku lakukan, dia akan teringat pada kawannya yang mirip aku itu. Cuma dia tetap tidak pernah memutuskan bahawa kawannya itu sebenarnya aku. Bukan anak aku. Bukan cucu aku. Bukan ayah aku. Ah, memang sukarlah mahu dipercayai kerana aku tidak berubah sepertimana Musytari ini. Entah siapa yang berada di landasan waktu yang betul, tidaklah aku tahu.
     Musytari mengirim salam pada ayahku (yang disangkanya kawannya). Aku iakan sahaja. Kalau tidak salah, beberapa hari yang lepas, dia ada juga mengirim salam pada datukku yang sudah lama meninggal (bahkan tak pernah aku temui) kerana disangkanya itulah kawannya di universiti. Ketidakseragaman naratif yang Musytari pegang ini aku pandang remeh sahaja. Masalah pemikiran orang tua yang tidak berapa utuh ini bukanlah sesuatu yang janggal.

 

     Cuma pada suatu hari, aku langsung tidak melihat kelibat Musytari. Setelah beberapa ketika, aku melihat orang ramai berkerumun seperti semut di ruang memandikan mayat. Aku turut menyertai mereka. Ketika melihat mayat yang terbujur kaku, aku tergamam sejenak. Musytari. Matanya pejam. Bibirnya mengukir sebentuk senyum tipis. Wajahnya begitu damai sekali. Aku tidaklah pula bertanya apa-apa mengenai Musytari terhadap jemaah masjid yang berada di situ. Bagaimana dia mati? Siapa yang menghantarnya ke mari? Siapa warisnya? Tidak. Aku tidak mahu tahu semua itu.
     Ada suatu keresahan tentang kebenaran latar belakang Musytari itu bakal mengancam hidupku kini. Aku bergegas balik ke rumah. Melihat aku mengimamkan solat Maghrib di rumah membuatkan isteriku bertanya.
     “Tak solat di masjid dah? Dah faham tanggungjawab sendiri ke?” nadanya sedikit mengejek. Memerli. 
     Aku rasa kecil hati tetapi siapalah aku mahu bersuara. Mengenangkan setiap ruang yang aku duduki di rumah ini milik isteriku, ada suatu perasaan dalam diriku mengatakan dia berhak berkasar padaku yang tidak punya apa-apa ini. Bahkan aku patut berterima kasih kepadanya kerana masih sudi menerimaku di rumah ini.
     “Maaf sayang. Nanti abang cari jalan nak bayar balik apa yang abang hutang dekat sayang.”
     “Maruah boleh tebus ke, abang?”
     Aku mengeluh mendengar kata-kata menghiris itu. Benar, ahli keluarganya selalu mendesaknya agar meninggalkan aku. Menghalauku keluar dari rumah ini. Mereka mahu melihat dia berjaya dalam hidup. Aku dilihat selaku kekangan. Aku akui, semua itu memang benar. Bahkan aku sendiri akan melepaskan isteriku dengan rela hati lalu terus merempat di jalanan. Aku boleh saja duduk di masjid yang sering aku datangi itu. Namun, isteriku itu sendiri merupakan sumber kekuatanku. Aku fikir, tanpa leteran isteriku pasti aku sudah berputus asa mencari kerja. Aku sepatutnya bersabar dengan ujian Tuhan dan terus berusaha. Bukannya berputus asa begitu sahaja.
     “Kalau sayang nak abang mati cepat, sayang cakap sajalah. Nanti abang tunaikan permintaan awak, sayang. Selesai masalah.”
     “Pergilah mati. Tapi jangan lupa tinggalkan duit dulu. Urusan pengebumian pun bukan murah sekarang. Tak ada yang percuma.”
     Aku teringat bagaimana Musytari diuruskan mayatnya. Siapa yang membayarnya? Adakah hidupnya jauh lebih senang daripadaku? Adakah cucu-cucunya ramai? Anak-anaknya berapa orang? Alangkah beruntungnya Musytari. Aku sendiri tidak tahu bagaimana pula nasibku nanti. Mungkin aku patut mencari suatu tempat di dalam ladang kelapa sawit dan menunggu mati di situ. Kalau akhirnya aku benar-benar mati, biarlah tanpa meninggalkan sebarang identiti diri. Biarlah aku dikebumikan di kubur tidak bernisan yang tiada memberitahu sesiapa perihal identiti jenazah yang dikebumikan di situ. 
     “Abang hilangkan diri sahajalah. Puas hati?”
     Mata isteriku cerlang. Wajahnya berseri-seri. Matanya terkebil-kebil merenungku seolah-olah apa yang aku cadangkan itu memang suatu idea bernas yang dinantinya selama ini.
     “Eloklah begitu. Bila abang nak pergi? Esok? Malam ini?”
     Termenung jugalah aku dibuatnya. Aku teringat bagaimana kami bercinta suatu ketika dahulu. Bagaimana aku memandu kereta mewah dan dia memuji pekerjaanku yang membolehkan keluarga kami hidup selesa. Aku tidak pernah gagal membelanjanya setiap kali kami makan di luar walau semahal apa pun harganya. Duit bukan masalah langsung. Aku selalu memberitahu isteriku agar menyambung pelajarannya dan cuba dapatkan kerjaya hebat yang akan membanggakannya selaku wanita bekerja yang berjaya. Dia sahut cabaranku. Kini dia memegang jawatan penting di sebuah organisasi yang tersohor namanya di seluruh dunia. Gajinya sahaja mampu membelikan sebuah rumah kos rendah setiap bulan.
     Dia tiada masalah mahu menanggungku jika bersandarkan pada pendapatannya, aku tahu akan hal itu.  Namun, selaku seorang suami, aku sepatutnya memberinya nafkah hidup dan bukannya sebaliknya. Malangnya, aku tiada jalan untuk membebaskan diri daripada kemelut masalah ini. Aku harus memulakan sesuatu dan beroleh pendapatan bulanan daripada sesuatu itu. Sehingga ke saat ini, aku memikirkan apakah sesuatu itu.
     Sedar tak sedar, aku sudah berada di luar rumah dengan beg galas berisi pakaian. Aku percaya aku telah mendengar isteriku berteriak sehingga tiada sepatah perkataan pun mampu aku fahami. Aku dipacu oleh minda separa sedar barangkalinya. Berganjak tanpa peduli dengan persekitaranku demi beroleh kedamaian yang sewajarnya.
     Aku patut berhenti menjadi beban.
     Perlahan-lahan aku melangkah menuju ke masjid. Aku menyeluk poket dan mendapati ia kosong. Tanpa dompet dan tanpa kunci kereta. Biarlah. Aku tidak perlukan semua itu. Aku tidak menoleh ke arah rumahku sama sekali. Aku mengharap tindakanku ini bakal melegakan hati isteriku. Kami perlukan ruang untuk berfikir dan menilai segala situasi ini dengan waras dan juga kematangan. Tiada sesal di hatiku, ketika melangkah meninggalkan rumah itu.
     Sepanjang perjalanan, pandanganku terawang-awang. Setiap orang yang kutemui di jalanan itu rata-ratanya cukup aku kenali. Baik yang hidup mahupun yang telah mati. Bahkan yang telah mati melebihi jumlah mereka yang hidup. Semakin menghampiri masjid, semakin ramai pula orang yang aku kenali ditemui. Mereka tidak berkata apa-apa kepadaku, melainkan memberikan senyuman atau sekadar lambaian. 
     Kubah masjid kelihatan bercahaya dan berkabus. Pencahayaan lampu-lampu sekelilingnya barangkali memberinya imej begitu. Aku melangkah longlai ke tempat wuduk yang agak lengang. Adakah sudah terlepas waktu Isyak? Aku memeriksa pergelangan tangan dan mendapati aku tidak memakai jam tangan.
     Buntu, aku mengambil wuduk dengan harapan ia dapat membantu mencerahkan mindaku yang celaru. Perihal Musytari yang sudah dikebumikan petang tadi, tidak dapat aku lupakan. Dan kata-kata penuh penghinaan yang dilontarkan isteriku yang mendorongku keluar dari rumah secara drastik terngiang-ngiang kabur. Aku tahu ia sesuatu yang teruk dan menjatuhkan maruah tetapi aku tidak dapat mengingatinya sama sekali.
     Aku masuk ke dalam masjid dengan harapan segala-galanya akan pulih. Kemaafan harus dipohon kepada isteri atas kegagalanku menjalankan tanggungjawab selaku seorang suami dengan baik. Ketika melakukan solat sunat tahiyatul masjid, jantung berdegup agak kencang. Nafas serasa sesak. Aku teruskan juga.
     Sehinggalah aku bersujud. Ia terlalu panjang. Mungkin infiniti. 
     Lalu seseorang menepuk bahuku. Aku langsung bangkit dari sujud lalu berpaling. 
     Musytari. Kelihatannya dia lebih muda, sepertimana ketika kami masih belajar di universiti dahulu. Dia tidak berkata apa-apa melainkan menuding ke arah jam bandul yang terletak berdekatan mimbar masjid.
     Waktu sudah berhenti. Perasaannya begitu. Ada suatu perasaan damai melanda di hati. Aku menoleh ke arah Musytari dan memberikannya satu senyuman. Dia tersenyum kembali lalu meneruskan langkahnya ke saf pertama lalu menunaikan solat sunat. 
     Ketika itulah aku dengar suara orang begitu riuh sekelilingku. Aku mencelikkan mata beberapa ketika dan kelihatan warga masjid yang wajah-wajah mereka cukup aku kenali mengelilingiku. Mereka menepuk-nepuk pipiku. Menggoncang-goncangkan tubuhku. Aku menguntum senyum sebelum memejamkan mata.
     Betapa penatnya hidup begini tetapi entah mengapa, tiada apa lagi yang patut digusarkan. Adakah aku sudah berusaha sedaya upayaku untuk mengubah hidup? Adakah aku akan menemui Sang Pencipta dalam keadaan yang mulia atau terhina? Biarlah detik seterusnya menentukan takdirku.
     Dingin, terasa begitu dingin.

 
 
Advertisement