Anda di sini

Pengeluaran KWSP pilihan terakhir, kerajaan perlu cari langkah lain bantu rakyat memerlukan

Advertisement

KUCHING: Cadangan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan secara 'one-off' bagi mengurangkan beban rakyat seharusnya dilihat sebagai pilihan terakhir, khasnya kepada mereka yang terdesak.

 

Penganalisis ekonomi Datuk Dr Madeline Berma (gambar) berkata, kerajaan perlu memikirkan langkah lain untuk membantu golongan yang betul-betul memerlukan.

"Pengeluaran KWSP ini hanya penyelesaian jangka pendek kepada isi rumah. Ia akan meningkatkan risiko masa hadapan bagi pencarum, di mana ramai golongan pesara akan jatuh miskin selepas bersara kerana caruman atau tabungan tidak mencukupi.

"Pengeluaran ini lebih memberi manfaat kepada M40 dan T20 kerana majoriti B40 mempunyai caruman yang kecil dan ada yang tidak mempunyai dana mencukupi untuk persaraan kelak," katanya kepada Utusan Borneo di sini, hari ini.

Madeline yang juga Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA) mencadangkan beberapa kaedah lain yang boleh digunakan kerajaan untuk membantu rakyat selain pengeluaran KWSP.

Antaranya kata beliau, penganjuran kempen kesedaran tentang KWSP bahawa ia adalah dana atau simpanan bagi persaraan mereka.

Beliau memberitahu ramai yang menganggap bahawa KWSP adalah duit bantuan, duit 'percuma' atau dana kecemasan.

"Pendekatan lain adalah kerajaan perlu menambah nilai Bantuan Tunai Rahmah untuk mengambil kira kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR), kos sara hidup dan kadar inflasi.

"Selain itu kerajaan perlu meningkatkan keselamatan ekonomi rakyat menerusi empat komponen keselamatan ekonomi," katanya.

Empat komponen keselamatan ekonomi berkenaan adalah Keselamatan Pendapatan iaitu pelaksanaan upah minimum dan jaminan keselamatan sosial, Keselamatan Pasaran Buruh iaitu mengurangkan kadar pengangguran dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Manakala, Keselamatan Pekerjaan ialah melindungi pekerja daripada dibuang kerja dan melindungi hak pekerja, dan Keselamatan Kemahiran iaitu mewujudkan peluang untuk pekerja meningkatkan kemahiran (akses kepada latihan, upskilling, reskilling)," jelasnya.

Memetik laporan pada 9 Februari lepas, kerajaan sedang mencari jalan yang lebih sesuai bagi mengurangkan beban rakyat tanpa mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, simpanan KWSP itu adalah perkara yang penting bagi mengelakkan rakyat ditimpa kesusahan apabila tiba masa bersara kelak.

“KWSP kita telah jelaskan... dulu kita minta dikeluarkan banyak. Jadi yang tinggal RM10,000 atau RM5,000, yang nak keluarkan itu kena fikir apa pilihan kita," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement