Anda di sini

Ugut bunuh, cederakan ibu kerana tidak diberi wang, pemuda dipenjara setahun

Advertisement
Tertuduh (dua kanan) diiring polis semasa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen selepas sebutan kes. 
Tertuduh (dua kanan) diiring polis semasa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen selepas sebutan kes. 

KUCHING: Berang apabila tidak diberi wang, seorang pemuda yang mengugut bunuh ibunya dan mencederakan mangsa dengan sebatang kayu mop dijatuhi hukuman penjara setahun di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini. 

Khirul Bujang, 28, mengaku bersalah sebaik didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen berbeza di hadapan Hakim Maris Agan.

Bagi pertuduhan pertama di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa berusia 58 tahun dengan menggunakan sebatang kayu mop.

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman tersebut. 

Pertuduhan kedua di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pula menyaksikan tertuduh mengugut hendak membunuh mangsa sama dengan bersenjatakan sebilah pisau daging.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di kediaman mereka sekeluarga di Kampung Telaga Air, Jalan Matang di sini, sekitar jam 9.30 pagi pada 5 Januari lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul mangsa menggunakan objek berupa kayu mop sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan di bahagian kepala dan calar di bahagian dahi. 

Punca kejadian adalah mangsa enggan memberikan wang seperti yang diminta oleh tertuduh. 

Semasa kejadian juga, tertuduh telah melempar pisau pemotong daging ke arah mangsa tetapi mangsa berjaya mengelaknya.

Selain itu, tertuduh turut melakukan ugutan jenayah terhadap mangsa dengan mengatakan ‘kelak ku bunuh kitak’ dan menyebabkan ketakutan kepada mangsa.

Mangsa yang mengesyaki anaknya berada di bawah pengaruh bahan terlarang seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Terdahulu sebelum dijatuhkan hukum, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan bekerja di kedai makan itu merayu agar tidak dijatuhi hukuman berat.

Timbalan Pendakwa Raya Danial Mohamad Ali bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam, berat kesalahan dilakukan, keseriusan kes dan kesan trauma dihadapi mangsa.

Maris seterusnya memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bermula hari ini bagi setiap pertuduhan dihadapinya. 

Beliau juga mengarahkan kedua-dua hukuman penjara untuk dijalankan secara serentak. 

Advertisement