Anda di sini

Tular harga makanan mahal, restoran dikompaun RM200

Advertisement
 Anggota penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan siasatan di restoran berkenaan selepas tular akibat harga makanan yang mahal.
PERIKSA: Anggota penguat kuasa KPDN Sabah menjalankan siasatan di restoran berkenaan selepas tular akibat harga makanan yang mahal.

KOTA KINABALU: Sebuah restoran di kawasan Foh Sang dekat sini dikenakan kompaun RM200 selepas didapati melanggar kesalahan membabitkan harga makanan yang dijual di premis itu.

Restoran berkenaan tular di media sosial berikutan satu aduan yang dimuat naik menunjukkan harga makanan yang mahal.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah Georgie Abas berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan dan siasatan di restoran terbabit dalam Ops Samar pada 3 Februari lepas.

Katanya, melalui operasi berkenaan, dua anggota penguat kuasa dengan berpakaian preman membuat 'ujian pembelian' (test purchase) terhadap makanan dan minuman yang diadu sebelum anggota pemeriksaan lain yang beruniform hadir untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Hasil daripada pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan mendapati tanda harga di restoran itu tidak lengkap dan tidak menyatakan caj tambahan bagi makanan yang ingin ditambah oleh pelanggan.

"Selain itu, pemeriksaan juga mendapati restoran itu gagal meletakkan tanda harga bagi dua jenis minuman tin yang dijual di premis berkenaan.

"Sebagai tindakan lanjut restoran berkenaan dikenakan kompaun serta-merta berjumlah RM200," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kompaun berkenaan dikenakan atas kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 kerana gagal meletakkan tanda harga barangan yang dijual.

Dalam pada itu jelasnya, restoran berkenaan turut dinasihatkan supaya mengemas kini senarai harga makanan dan minuman yang mereka tawarkan supaya lebih jelas.

Katanya, peniaga terbabit diminta menambah dan mempamerkan senarai harga makanan dalam Bahasa Melayu selain dalam Bahasa Cina seperti yang sedia ada.

"Pemantauan lanjut akan diteruskan dari semasa ke semasa terhadap restoran itu bagi memastikan peniaga sentiasa patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

"KPDN Sabah ingin mengingatkan kepada semua peniaga supaya sentiasa patuh terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian.

"Mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah AKHAP 2011 dan boleh dikenakan penalti," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement