Anda di sini

Sarawak juara keseluruhan Kejohanan Tinju Piala Malaysia 2023 & Remaja Kebangsaan

Advertisement
Barisan petinju Sarawak bergambar beramai-ramai bersama jurulatih dan pegawai selepas kejohanan melabuhkan tirai.
Barisan petinju Sarawak bergambar beramai-ramai bersama jurulatih dan pegawai selepas kejohanan melabuhkan tirai.

KUCHING: Skuad tinju Sarawak melaungkan amaran awal kepada negeri lain apabila muncul juara keseluruhan Kejohanan Tinju Piala Malaysia 2023 dan Remaja Kebangsaan yang melabuhkan tirainya pada Sabtu di Nilai, Negeri Sembilan.

Barisan petinju muda Sarawak beraksi dengan cemerlang untuk merangkul enam pingat emas, lima perak dan lima gangsa pada kejohanan yang turut disertai peserta kebangsaan.

Mencuri tumpuan pasti kemenangan pemenang pingat emas SUKMA 2022, Jackson Chambai Ikeh yang menundukkan peserta PDRM, Shamsuhairi Shamsudin dalam pertarungan kategori Elit 46-48kg pada hari terakhir.

Kemenangan beliau mengubat kekecewaan selepas seorang lagi rakan sepasukan, Daeloniel McDelon Bong atau "Kilat Boy" kandas dalam aksi separuh akhir semalam di tangan atlet kebangsaan, Jemis Wong Lee Onn dalam kategori Elit 54kg.

Selain itu, penyumbang emas lain ialah Kenaddy Bilong Naga (48kg), Carlson Ngu Tian Ze (51kg), Muhammad Eric Erfan Ladin (54kg), Isac Heinrich Manasee (60kg) dan Frederick Xian Bartholomew (63.5kg).

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Dato Rahman Lariwoo ketika dihubungi amat gembira dengan kejayaan besar petinju muda Sarawak dalam kejohanan berprestij tersebut.

"Ia sememangnya luar dari jangkaan kita. Mereka memperagakan semangat juang yang sangat kental menentang ramai atlet berpengalaman dan berjaya memenangi pingat termasuk pingat emas.

"Kejayaan ini jelas memperlihat bahawa program pembangunan yang kita laksanakan menampakkan hasil yang sangat positif.

"Sudah tentu kejayaan ini akan memperkukuhkan persiapan kita untuk menghadapi SUKMA 2024 kelak.

"Apa yang saya boleh katakan, kita sudah ada skuad bayangan untuk tahun depan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) kerana sentiasa menyokong program pembangunan SABA sehingga sekarang.

Dalam kejohanan terbabit, pingat perak Sarawak disumbangkan oleh Ryan Tiong Gigish (48kg), Peter Nyanggun Mancha (51kg), Anderson Tie Teck Liang (60kg), Abg Muhammad Safwan Shah Abg Zainudin (63.5kg) dan Daeloniel McDelon.

Manakala gangsa dimenangi Maxwell Buda Christina (54kg), Christian Tuah Sapok (60kg), Muhammad Nur Hazimi Abidin 48kg), Oyvind Welly Muan (51kg) dan Anderton Tie Teck Hieng (75kg).
 

  • oleh
  • Advertisement