Anda di sini

Saluran akses lebih dalam bantu Pelabuhan Miri pacu pembangunan industri 

Advertisement
Uggah (tengah) bersama tetamu kehormat lain bergambar setelah melakukan yee sang iaitu simbolik perasmian majlis makan malam FCA di Eastwood malam Sabtu.
Uggah (tengah) bersama tetamu kehormat lain bergambar setelah melakukan yee sang iaitu simbolik perasmian majlis makan malam FCA di Eastwood malam Sabtu.

MIRI: Pelabuhan Miri akan menjadi pemacu kepada lebih banyak pembangunan industri di sini khasnya kawasan Kuala Baram setelah projek mendalamkan dan menambaik baik kedalaman saluran akses ke terminal dilaksanakan dengan jayanya. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin dengan saluran muara sungai yang lebih dalam akan membolehkan pelabuhan Miri mengurus kemasukan lebih banyak kapal termasuk kapal kontena dengan kargo berkapasiti lebih besar.

"Dengan mendalamkan dan menambaik kedalaman sehingga -5 meter chart datum (CD) ditambah dengan julat pasang surut dari 2.0 sehingga 2.5 meter, 70 peratus kapal boleh melalui saluran Kuala Baram dan pelabuhan Miri boleh mengurus kapal kontena sehingga 1000 TEU (sepanjang 160 meter) berbanding 100 TEU pada sekarang," jelas beliau. 

Perkara itu dijelaskan Abang Johari dalam teks ucapannya yang disampaikan Timbalan Premier Datul Amar Douglas Uggah Embas pada majlis makan malam sambutan perayaan Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan-Persatuan Cina Bersekutu (FCA) Miri pada malam Sabtu di Eastwood Valley Golf and Country Club.

Menurut beliau, projek  dilaksanakan bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) yang membangunkan beberapa projek-projek pemangkin pembangunan ekonomi ke arah negeri maju berpendapatan tinggi pada tahun 2030. 

Perlaksanaannya juga untuk mempertingkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan pelabuhan di negeri ini. 

"Dalam hal ini, saya telah mengumumkan kelulusan saya terhadap projek untuk mengorek dan mendalami serta membina tambak di kedua-dua belah saluran akses Kuala Baram menuju ke terminal pelabuhan Miri, " jelasnya. 

Beliau berkata, dengan anggaran kos sebanyak RM238 juta, ia turut membantu mengurangkan masalah banjir di Marudi dan kawasan Ulu Baram.

Setelah siap, ia akan pemacu kepada lebih banyak aktiviti perindustrian termasuk industri kecil dan sederhana. 

"Ini akan menyumbang kepada pengurangan kos penghantaran, pengangkutan dan logistik sekaligus mengurangkan kos dikenakan kepada pelanggan, " jelasnya. 

Tentang penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), kerajaan akan meneroka cara untuk membangunkan industri minyak dan gas termasuk di darat.

Beliau memberitahu, industri minyak dan gas di Miri bermula di darat pada 1910 dan berpindah ke luar pesisir pantai pada 1970-an. 

"PETROS akan melawat semula potensi di darat selain aktiviti luar pesisir pantai," ujarnya.

Tentang Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Abang Johari berkata, bahagian Miri telah menerima geran berjumlah RM34,111,000 untuk 234 projek sejak tahun 2017 hingga 2022. 

Jumlah geran ditambah sebanyak RM9,720,000 untuk 11 projek rakyat menjadikan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM43,831,000 untuk 245 projek. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, ADUN Pujut Adam Yii dan Presiden FCA Miri Dato David Goh. 
 

  • oleh
  • Advertisement