Anda di sini

Ford akan kembali ke F1 pada 2026

Advertisement
Gambar fail pada 2 Mei 2003 ini menunjukkan pemandu pasukan Ford, Giancarlo Fisichella memandu keluar dari pit di Litar Montmelo menjelang Formula 1 Grand Prix Sepanyol. — Gambar AFP
Gambar fail pada 2 Mei 2003 ini menunjukkan pemandu pasukan Ford, Giancarlo Fisichella memandu keluar dari pit di Litar Montmelo menjelang Formula 1 Grand Prix Sepanyol. — Gambar AFP

NEW YORK: Pengeluar kereta dari Amerika Syarikat (AS), Ford, akan kembali ke Formula Satu (F1) pada 2026 selepas lebih dari dua dekad menghilang apabila bergandingan dengan pasukan juara dunia, Red Bull Racing, menurut syarikat itu pada Jumaat.

Ford mengumumkan mereka memasuki satu” kerjasama teknikal strategik jangka panjang untuk pembangunan enjin baharu hibrid generasi akan datang yang akan digunakan dari musim F1 2026 dan seterusnya.”

Syarikat itu berkata mereka akan membekalkan Red Bull dan pasukan sokongan Alpha Tauri enjin mereka sehingga sekurang-kurangnya 2030.

“Ini adalah permulaan babak baharu menarik dalam cerita sukan bermotor Ford yang bermula apabila moyang saya (Henry Ford) memenangi satu perlumbaan yang membantu melancarkan syarikat kami,” kata Bill Ford, pengerusi eksekutif syarikat.

Kali terakhir Ford beraksi dalam F1 ialah pada 2004 apabila bergandingan dengan pasukan Jordan dan kepulangan mereka adalah satu lagi petanda terbaharu perkembangan sukan F1 di AS.

Musim ini akan menyaksikan tiga perlumbaan F1 berlangsung di AS, dengan Las Vegas menyertai Miami dan Austin dalam kalendar perlumbaan.

Populariti F1 di AS melonjak sejak platform penstriman Netflix menghasilkan siri “Drive to Survive”, yang mendapat tontonan meluas.

Ford mempunyai peranan dalam 10 kejuaraan kategori berpasukan dan 13 kejuaraan kategori pemandu – menjadikan mereka pengeluar enjin ketiga paling berjaya dalam sejarah F1 dengan kejayaan terbaharu adalah menerusi kemenangan Michael Shumacher ketika bersama pasukan Benetton pada 1994.

Red Bull memperkenalkan kereta baharu mereka untuk musim 2023 dalam satu majlis di New York pada Jumaat dan pengurus pasukan, Christian Horner berkata dia tidak sabar dengan kerjasama baharu bersama Ford.

“Ia hebat untuk mengalu-alukan kembali Ford ke F1 menerusi kerjasama ini,” katanya.

“Mereka adalah pengeluar yang kaya dalam sukan permotoran dari pelbagai generasi. Dari Jim Clark hingga ke Ayrton Senna dan Michael Schumacher, rekod itu bercakap bagi pihak mereka. Dan bagi kami di Red Bull untuk membuka babak baharu dinasti itu sebagai Red Bull Ford, ia sememangnya sangat menarik,” katanya.

Syarikat akan memulakan kerjasama pada tahun ini menjelang pertukaran peraturan untuk enjin F1 dan perjanjian itu dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.

“Berita hari ini ialah Ford akan datang ke F1 dari 2026 merupakan sesuatu yang hebat untuk sukan ini dan kami teruja untuk melihat mereka menyertai rakan permotoran yang sudah ada dalam F1,” kata Domenicali. — AFP
 

Advertisement